SYEIKH ABDULLAH HARARI DALAM KENANGAN

September 8th, 2008 by abnajaafariyah

Dunia Islam sekali lagi kehilangan seorang ulamak terkemuka dalam bidang hadis khasnya serta ilmu-ilmu Islam amnya tanggal 2 Ramadhan yang lalu. Pada pagi Selasa bersamaan 2 September itu perginya Al-Imam Al-Muhaddis Syeikh Abdullah Harari menemui Allah SWT buat selama-lama. Al-Marhum yang lebih dikenali dengan Al-Habsyi itu meninggal dunia dalam usia 98 tahun.  Al-Marhum sering dikaitkan dengan kontreversi terhadap satu-satu pandangan. Perselisihan antaranya dan ulama’-ulama’ lain kekadang sampai banyak pihak menganggap beliau ‘mudah mengkafirkan orang lain.’ Namun kehebatan ilmunya itu tiada siapa yang nafikan. Cuma pendekatan yang digunakan oleh beliau yang agak keras dan tegas itu ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Walau bagaimanapun perselisihan mereka di kalangan ulama’ adalah perkara yang lumrah kerana berpandukan ilmu yang dimiliki. Semoga Allah mengampuni kita dan mereka semua.

Nama Syeikh Abdullah ialah Abu Abdul Rahman Abdullah bin Muhammad bin Yusuf bin Abdullah bin Jami’e Al-Harari, Al-Syaibi Al-’Abdari.

Al-Harari ialah dinisbahkan kepada negeri kelahirannya iaitu Harar. Harar terletak dalam kawasan pedalaman Afrika. Bersempadan dengannya dari Timur ialah Republik Somalia sementara dari sebelah Barat ialah Habsyah (Ethopia). Manakala dari sebelah utara ialah Kenya dan selatan ialah Republik Jaibuti.

Al-Syaibi pula dinisbahkan kepada satu kaum Bani Syaibah dari Abdul Dar yang berasal dari Quraisy.

Al-’Abdari pula dinisbahkan juga kepada keturunan iaitu Bani Abdul Dar yang bersambung kepada nasab Qusai bin Kilab iaitu moyang Nabi Muhammad SAW keempat.

Syeikh Abdullah Harari dibesarkan dengan penuh tawadhuk oleh kedua ibu bapanya serta dalam suasana cintakan ilmu. Beliau telah menghafaz Al-Quran ketika berusia 7 tahun. Sementara ayahandanya telah mengajarnya kitab-kitab agama antaranya Mukhtasor As-Soghir dalam ilmu Fekah iaitu sebuah kitab yang masyhur di negaranya. Beliau juga telah menghafaz matan-matan dalam pelbagai ilmu tetapi lebih mementingkan ilmu yang berkait dengan Hadis. Hinggakan beliau telah menghafaz “Kutub Sittah” iaitu kitab hadis yang enam yang muktabar dalam Islam termasuk Sohih Bukhari dan Muslim. Lalu beliau telah diberikan ijazah untuk memberikan fatwa serta meriwayatkan hadis ketika usianya menjangkau 18 tahun.

Beliau menuntut ilmu bersama ulama’ dalam negaranya dalam segenap aspek ilmu agama bahkan bermusafir juga ke pelusuk Habsyah dan Somalia.

Beliau mempelajari Fekah Syafie serta Nahu dari seorang ulama’ yang juga wali Allah, Syeikh Muhammad Abdul Salam Al-Harari, Syeikh Muhammad ‘Amr dan Syeikh Muhammad Rosyad Al-Habsyi.

Bagi ilmu Hadis pula, beliau mempelajarinya dari Syeikh Abu Bakar Muhammad Siraj Al-Jibrati, Mufti Habsyah serta Syeikh Abdul Rahman Abdullah Al-Habsyi.

Beliau juga mahir dalam ilmu Qiraat apabila mempelajarinya dari Syeikh Soleh Al-Muhadis Ahmad Abdul Mutalib Al-Habsyi, syeikh Qurra’ di Masjidil Haram dengan Qiraat Empat Belas.

Selain menuntut ilmu di sekitar negaranya, Syeikh Abdullah Harari juga telah bermusafir ke beberapa negara Arab lain bagi tujuan yang sama. Beliau telah ke Mekah dan mengambil ilmu daripada Al-Marhum Sayyid ‘Alawi bin Sayyid ‘Abbas Al-Maliki, seorang ulama’ yang masyhur di Tanah Haram selain dengan Syeikh Muhammad Amin Kutubi dan Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani.

Kemudian ke Madinah dan ke Baitul Maqdis. Sebelum pulang ke tanah air, beliau telah menetap di Damsyik, Syria serta bertemu dengan ramai ulama’ di sana di samping berpindah-pindah dari satu bandar ke bandar lain seperti Halab dan Hemah. Di sana beliau bertemu dengan seorang ulama’ yang pakar dalam Hadis iaitu Al-Marhum Syeikh Badruddin Al-Hasani. Beliau sentiasa berada dalam majlis-majlis ilmu hingga beliau telah diperakui ilmunya serta diisytiharkan dalam negara Syam bahawa beliau sebagai ((khalifah kepada Syeikh Badrudin Al-Hasani)) dan ((Muhaddis bagi negara Syam)).

Beliau juga telah mengambil Tariqat Ar-Rifai’eyyah dari Syeikh Abdul Rahman Al-Sabsabi Al-Hamawi dan Syeikh Thohir Al-Kayali Al-Homsi serta ijazah Tariqat Qodiriah.

Beliau pulang ke negaranya tahun 1950 bersamaan tahun 1370 hijrah dengan ilmu di dada serta menyampaikan ilmu dan dakwah.Sejurus kepulangannya ramai para ulama’ di negaranya telah bertemu serta mengadakan muzakarah bagi melihat tahap ilmu yang dimilikinya. Masing-masing amat mengagumi dengan kehebatan ilmu yang dimiliki.

Syeikh Abdullah Harari juga menulis serta mensyarahkan beberapa matan serta kitab ulama’ yang muktabar seperti:

  1. Syarah Matan Alfiyah As-Suyuti dalam Ilmu Mustolah Hadis
  2. As-Siratol Mustaqim
  3. Syarah Matan Abi Syuja’
  4. Syarah Alfiyah Az-Zubad dalam Fekah Syafie
  5. Syarah Manzumah As-Soban dalam Ilmu ‘Arudh
  6. Syarah 13 Sifat Wajib Bagi Allah

Serta banyak lagi yang kebanyakannya tersebar luas di dunia ini kecuali di negara Saudi (mungkin).

Pemergiannya buat selama-lamanya pada 2 Ramadhan lalu amat ditangisi oleh semua. Semoga Allah merahmati rohnya serta membalasnya dengan sebaik-baik balasan di sisi-Nya.Amin. AL-FATIHAH…

_______________________________________________________________________

Rujukan:

Kitab As-Sirotol Mustaqim karangan Al-Marhum cetakan Darul Masyarik (Terjemahan biodata Al-Marhum Syeikh Abdullah Harari).

SPEKTRUM 11 2008 BEST!

July 23rd, 2008 by abnajaafariyah

Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan (SPEKTRUM) II 2008 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) telahpun berada di penghujung. Hari ini (Khamis,24 Julai) akan diadakan sukaneka hari keluarga dan malamnya akan diadakan malam kebudayaan iaitu akan menyaksikan persembahan kebudayaan seperti dikir barat, wayang kulit dan macam-macam lagi.

Kelmarin (23 Julai), telah berlangsung perasmian penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Speaker DUN Kelantan, YB En.Mohd Zaki Ibrahim merangkap ADUN Kelaboran. Dalam keterbatasan ini, saya tertarik untuk membuat sedikit catatan ringkas sepanjang program ini berlangsung. SPEKTRUM adalah satu program di bawah naungan YAB Menteri Besar yang menunjukkan betapa prihatinnya Kerajaan Negeri Kelantan terhadap mahasiswa dan mahasiswi Kelantan di Mesir. SPEKTRUM II ini adalah rentetan SPEKTRUM 2007 yang diadakan pertama kali tahun lalu yang dihadiri isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak. Oleh kerana sambutan yang menggalakan pada siri lalu, Kerajaan Negeri bercadang mengadakannya pada kali kedua tahun ini dan al-hamdulillah ia telahpun berjaya diadakan. Bermula dengan majlis perasmian pada 21 Julai lalu yang disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Husam Musa, seminar yang berlangsung di Dewan Solah Kamil Universiti Al-Azhar ini telah berlangsung selama 3 hari. Walaupun sebelum ini, memang menjadi hasrat kepada YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar sendiri untuk bersama-sama kami di Mesir dalam program SPEKTRUM ini buat menjadi pengubat hati kami. Namun apakan daya, dengan keuzuran padanya, beliau tak dapat bersama-sama. Seperti yang dimaklumkan, YAB Tuan Guru baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah. Perjalanan yang begitu lama menjadikan beliau letih. Beliau mewakilkan kepada YB Dato’ Husam Musa, Exco kanannya bagi bersama-sama mahasiswa Kelantan di sini. YB Dato’ Husam selaku Exco Kerajaan Negeri turut ditemani isteri, 2 anaknya serta teman-teman seperjuangan: YB En. Mohd Zaki Ibrahim (Timbalan Speaker DUN Kelantan), YB Ustaz Hasan Mahmood (ADUN Tawang), YB Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (ADUN Mengkebang), YB Puan Siti Zailah Md.Yusof (Ahli Parlimen Rantau Panjang), Ustaz Zulkifli Yaakob, (mantan Yang Dipertua PMRAM tahun 1992) dan beberapa orang lain.

Bagi pandangan saya, program SPEKTRUM II yang menelan belanja beribu-ribu ringgit ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja anak-anak Kelantan bahkan kepada seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir ini. Sesungguhnya kertas kerja yang diseminarkan sepanjang 3 hari itu adalah tidak akan kita perolehi dalam kuliah ataupun dalam apa jua program melainkan dengan penyertaan kita yang komited sepanjang program berlangsung. Dengan tanpa bayaran atau yuran pendaftaran yang dikenakan, peserta tentunya akan berpuas hati dengan apa yang diperolehi sepanjang seminar berlangsung yang berakhir semalam. Apatah lagi yang ‘turun’ sendiri ialah YB Dato’ Husam Musa. Beliau mampu memberikan ‘input’ yang terbaik buat kami para peserta terutama berkaitan isu kenaikan harga barang dan petrol. Bahkan tidak cukup ucapan beliau yang memukau dengan hujah yang konkrit, sebuah buku kecil karangan beliau dan Sdr.Syed Azidi Aziz yang bertajuk "Minyak: Ke Mana Wang Dilarikan?" juga diberikan secara percuma kepada para peserta.

Namun, seperti yang disebutkan oleh Ustaz Zulkifli Yaakob dan Ustaz Zulkifli Yusuf yang melahirkan rasa sedikit kecewa dengan jumlah kehadiran peserta. Walaupun sebelum beberapa hari program berlangsung, Eksekutif Pendaftaran mencatatkan pendaftaran peserta yang ingin menyertai SPEKTRUM II kali ini melebihi 500 orang! Namun apabila tiba hari-hari program, kehadiran hanya sekitar 200 orang. Bagi pandangan tetamu, jika dinisbahkan anak-anak Kelantan di Meisr yang melebihi 1,000 orang, ia amat sedikit berbanding kehadiran peserta ke SPEKTRUM II. Pada pandangan saya ia mungkin faktor ramai mahasiswa pulang ke Malaysia pada tahun ini dan juga faktor kesedaran mahasiswa itu sendiri. Ada yang lebih suka tidur di rumah, makan angin atau melakukan urusan peribadi berbanding menghadiri program seumpama ini. Sememangnya wajar pihak penganjur khasnya rombongan dari Malaysia agak kecewa kerana mereka telah menghabiskan sejumlah peruntukan yang begitu banyak, namun kurang mendapat sambutan. Adapun dari promosi, ia telah dijalankan dengan hebat. Sesiapa pun yang pernah menganjurkan apa-apa jua program jika tiada sambutan,pasti akan ada sedikit rasa kecewa.

Berikut ialah program yang telah berlangsung:

1) Perasmian oleh YB Dato’ Husam Musa

2) Pembentangan kertas kerja:

  • YB Puan Siti Zailah Mohd Yusof bertajuk: Peranan Muslimat Sebagai Penentu Kemenangan.
  • YB En. Mohd Zaki Ibrahim : Tanggungjawa Belia Islam Di Kelantan
  • YB Ustaz Hasan Mahmood: Tahaluf Siyasi Dalam Suasana Politik Malaysia
  • YB Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman: 18 Tahun Kelantan Di Bawah Pentadbiran Ulamak

3) Forum Al-Munzirin bersama panel: YB Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Ustaz Zulkifli Yaakob dan Puan Salwati Mohd Arifin (Ketua Nisa’ Kelantan).

4) Dialog Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri

5) Ceramah Umum bertempat di Dataran Hayyul ‘Asyir yang bertajuk "Model Negara Berkebajikan, Peranan Mahasiswa".

6) Perasmian penutup oleh YB En. Mohd Zaki Ibrahim

Cuma beberapa catatan yang menarik sepanjang program yang perlu dikongsi ialah:

1) Asrama Kelantan Baru

Kesungguhan Kerajaan Negeri untuk membeli sebuah bangunan bagi menempatkan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir. Masalah penempatan menjadi masalah utama selama ini bagi kami kerana rumah-rumah Kelantan sebelum ini sudah tidak dapat menampung jumlah mahasiswa yang semakin bertambah. YB Dato’ Husam sendiri telah dibawa melihat bangunan cadangan dan keesokannya beliau sendiri menghubungi YAB Tuan Guru Menteri Besar. Semoga impian anak-anak Kelantan ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini.

2) Peruntukan Segera

Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan segera bagi bantuan kewangan seramai 100 orang anak-anak Kelantan yang kesusahan berjumlah RM 100,000 melalui YB Dato’ Husam Musa.

3) Peranan PMRAM

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang merupakan persatuan induk yang ditubuhkan tahun 1930 dan penaung kepada persatuan anak-anak negeri di Mesir telah diberikan penghormatan dalam banyak aspek terutama dalam program ini. Antaranya, Presiden PMRAM diberikan peluang berucap menyampaikan kata alu-aluan dalam upacara perasmian. Dalam kesempatan itu, Presiden PMRAM telah melahirkan rasa bangga PMRAM atas bantuan yang diberikan oleh KPKM selaku Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang dinaunginya selama ini. Pada malam ceramah umum di Dataran Hayyul ‘Asyir, Presiden PMRAM sekali lagi diletakkan duduk bersama-sama dengan para rombongan di atas pentas manakala barisan Badan Pengurus dan AJKT HEWI PMRAM diberikan tempat di hadapan. Begitu juga pada perasmian penutup, Presiden PMRAM diberikan penghormatan untuk menyampaikan cenderahati kepada para rombongan Kerajaan Negeri. Bahkan dalam ucapan penggulungan semasa Dialog Kepimpinan Kerajaan Negeri bersama mahasiswa, Kerajaan Negeri Kelantan bercadang melantik PMRAM sebagai wakil Kerajaan Negeri bagi sistem urusan Dinar dan Dirham jika ia berjaya diperkenalkan kelak.

4) Urusetia Program

Yang menarik kali ini, urusetia program menyaksikan penggabungan antara golongan agamawan dan profesional apabila golongan Azhari bekerjsama dengan pelajar perubatan. Ada antara AJK terutama di sebelah mahasiswi dari kalangan perubatan. Ini menggambarkan perkembangan yang cukup baik apatah lagi sebagai persediaan kepada golongan agamawan untuk menerima lebih ramai pelajar perubatan pada masa-masa mendatang.

5) Eksekutif Disiplin

Dalam setiap program, Unit Disiplin dan Protokol adalah satu unit yang amat penting. Dalam SPEKTRUM II ini peranan Eksekutif Disiplin patut dipuji. Keaktifan dan kepekaan mereka menyebabkan majlis berjalan dengan licin terutama bagi VIP. Keseragaman pakaian mereka menarik perhatian. Bukan sahaja dalam dewan, bahkan malam ceramah umum di Dataran Hayul Asyir juga. Setiap VIP diiring hingga mereka duduk di tempat yang telah ditetapkan. Saya datang agak lewat malam ceramah umum tersebut. Hajat di hati, lebih suka duduk di bahagian belakang. Bila melihat saya, AJK Disiplin dengan segera menjemput dan mengiringi saya mengambil tempat di bahagian hadapan bersama-sama teman yang lain. Suasana yang agak tidak terkawal malam ceramah itu disebabkan soalan-soalan yang dikemukakan agak panas menjadikan Eksekutif Disiplin lebih berhati-hati. Kawalan ketat kepada semua VIP terutama anggota rombongan agar perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku. Sewajarnya keikhlasan mereka yang bekerja langsung tidak mengharapkan habuan dunia, pujian serta sanjungan sewajarnya dihargai semua pihak. Syabas buat Disiplin serta Eksekutif-Eksekutif lain yang menjayakan program ini!

Terima kasih kepada semua pihak dalam menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang amat prihatin kepada kami anak-anak Kelantan di sini. Bahkan juga tidak melupakan PMRAM sebagai persatuan induk di sini.

ALFU BARAKAH

May 2nd, 2008 by abnajaafariyah

Dalam kesibukan mentelaah kitab menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang beberapa hari lagi, sambutan Maulid Saidina Husien r.anhu pada hari Selasa tanggal 30 April lalu menjadi penawar bagi merehatkan minda. Saya sempat bersama-sama teman menjenguk sekitar kawasan di medan Saidina Husien beberapa hari sebelum tiba malam penutup (hari selasa) sambutan tersebut. Sekitar kawasannya bermandikan cahaya beberapa hari sebelum itu hingga menjelang fajar 1 Mei. Pendek cerita, pada malam kemuncak maulid yang disambut itu yang penuh warna-warni, segenap manusia datang dari pelusuk Tanah Arab khasnya dan dunia ‘amnya. Bahkan saya sempat bertemu dengan tetamu yang datang dari Libya semata-mata merayakan maulid cucu kesayangan Baginda SAW itu. Tetamu itu yang kami temui di sahah Idrisiyyah, berhampiran Masjid Saidina Husein itu antara ribuan orang yang mengasihi Saidina Husein r.anhu. Beliau dari Tariqat Sanusiyah, gerakan sufi yang diasaskan oleh Sayyidi ‘Ali As-Sanusi, salah seorang anak murid kepada  wali qutub yang agung, Sayyidi Ahmad bin Idris. Jika tidak salah saya, Sayyidi Ali As-Sanusi juga antara ulamak sufi yang terlibat mengetuai gerakan jihad di Libya menentang musuh Islam satu ketika dahulu.Beliau meninggal dunia di Libya dan dikebumikan di sana.

Seperti yang dimaklumi, Saidina Husien dilahirkan pada 4 Syaaban tahun ke-4 hijrah iaitu setahun selepas kelahiran abangnya, Saidina Hasan. Sambutan maulid beliau yang dilakukan pada beberapa hari lalu bukanlah sambutan kelahiran beliau tetapi sambutan bagi memperingati waktu kepala beliau yang mulia dibawa masuk ke Mesir iaitu pada hari Selasa minggu terakhir dalam bulan Rabiul Akhir sekitar tahun 500 hijrah.Bagi menzahirkan kecintaan dan kegembiraan mereka kepada beliau, maka menjadi kelaziman bagi penduduk Mesir khasnya merayakan detik bersejarah ini. Tidak diketahui sejak bila sambutan ini dimulakan. Mungkin juga tahun ketibaan kepala beliau yang mulia di Kaherah ini kerana menurut catatan sejarah, ketika kepala beliau yang mulia diarak masuk ke kota Kaherah ketika itu, sekalian penduduk Mesir yang menyaksikan majlis itu, semuanya berlutut sambil menundukkan kepala masing-masing sebagai menghormati anak Saidina Ali itu.

Bagi Syeikh Soleh Jaafari r.anhu sendiri, beliau banyak menukilkan kisah keramat kurniaan Allah kepadanya bersama Saidina Husein, nendanya.Sebagai keturunan yang mempunyai pertalian darah, tentunya beliau takkan terlepas dari menerima tarbiyah dari nendanya tersebut apatah lagi daripada Rasulullah SAW. Catatan kisah beliau bersama Saidina Husien itu kami terima ketika lawatan kami ke Aswan awal tahun ini. Seingat saya lebih dari 20 kisah keramat yang Allah berikan beliau bersama Saidina Husein.

Persoalan sama ada benar atau tidak kepala beliau berada di Kaherah, bagi saya ia jelas sama sekali. Banyak buku ditulis oleh para ulamak menjelaskan keadaan ini. Dalam kitab "Al-Bayan" oleh Mufti Mesir, Dr.Ali Jumaah sendiri menyebut masalah ini bukan masalah aqidah. Ini tidak bererti bagi sesiapa yang tidak menyakini perkara ini akan merosakkan aqidah.Jika dirujuk lagi dalam kitab "Al-Maraqid Ahlil Bait Fil Qaherah" tulisan Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim sendiri dengan jelas menulis tentang sejarah  Saidina Husien dan secara  dalil dan bukti bahawa kepala Saidina Husein sememangnya wujud di Kaherah iaitu dalam masjid beliau sekarang ini. Kita sendiri pernah mendengar cerita bahawa Al-Marhum Syeikh Ismail Sodiq Adawi, Imam dan khatib Masjid Al-Azhar tidak mahu menggunakan mikrofon ketika mengajar dalam Masjid Saidina Husein kerana katanya beliau malu untuk mengangkat suara di hadapan Saidina Husein.

Sementara itu, jasad beliau yang mulia dikebumikan di Karbala, Iraq. Oleh kerana faktor keselamatan yang tidak mengizinkan di Iraq ditambah lagi penguasaan puak Syiah di masjid Saidina Husien di Karbala, sudah pasti maqam beliau di Kaherah menjadi tumpuan umat Islam dunia ketika sambutan maulid beliau. Maka tidak hairanlah medan Saidina Husein yang terkenal pusat  pelancongan itu menjadi tumpuan setiap kali sambutan maulid beliau.

Ziarahilah beliau dan para ulamak yang lain bagi menjadi sebab untuk mendapat redha dan rahmat Allah. Ini kerana mereka sekalian antara golongan yang diredhai oleh Allah dan tentunya sekitar maqam mereka akan sentiasa dipayungi rahmat dan redha dari Allah.Sekali lagi, tanggal 4 Syaaban yang akan datang, masjid beliau akan dibanjiri para pencintanya bagi meraikan ulangtahun tarikh maulid beliau yang sebenar. Syeikh Soleh Jaafari r.anhu sendiri banyak menulis qasidah memuji Saidina Husein. Antara qasidah yang masyhur:

هذا الحسين وهذه أنواره * لاحت على زواره أسراره
هذا الحسين وفي الجنان مقره *ابن النبي محمد خير الورى
وضريحه يعلوه نور ظاهر * قال النبي بأنه في جنة

Maksudnya:
"Inilah dia (Saidina) Husein dan ini smeua adalah cahayanya*Menyelubungi sekalian orang yang menziarahinya"
"Inilah dia (Saidina) Husein yang di syurga tempatnya*Cucu Nabi Muhammad sebaik-baik manusia"
"Maqamnya menzahirkan cahaya yang jelas*Sabda Nabi bahawa dia di dalam syurga."

Semoga Allah meredhai beliau serta sekalian ahli keluarga Baginda SAW yang lain.Madad Ya Ahlal Bait!

YANG MENARIK JAULAH MAQAM SEMALAM..

April 19th, 2008 by abnajaafariyah

Semalam, hari Jumaat saya berkesempatan bersama-sama teman dari Tonto mengadakan jaulah ke maqam auliya sekitar Kaherah khas bagi menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan berlaku di maqam Imam Syafie semasa kami berhenti untuk ziarah dan solat Asar. Sebelum itu, saya bercadang untuk membaca burdah Imam Busiri di dalam maqam beliau nanti. Perkara ini dimaklumi oleh sekalian teman-teman lain.


Selesai solat, saya bertemu dengan Haji Ali, salah seorang dari anak murid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang selalu saya lihat beliau di majlis hadrah di masjid syeikh tersebut. Haji Ali menceritakan kepada saya satu kisah yang diriwayatkan dari Syeikh Soleh Jaafari ketika beliau menghadiri majlis ilmu bersama syeikh beliau di Masjid Al-Azhar satu ketika dulu. Sayyidi Ahmad Dardir r.anhu, seorang ulamak Al-Azhar, yang alim dalam Feqah Mazhab Maliki hingga digelar sebagai Maliki Soghir (Imam Malik Kecil). Maqam beliau terdapat di belakang Masjid Al-Azhar. Antara keramat yang Allah kurniakan kepada beliau ialah beliau bermimpi menemui Rasulullah SAW pada setiap malam dalam tidurnya. Ketika beliau masih menuntut di Al-Azhar, seorang syeikh Al-Azhar iaitu Syeikh Zakaria Al-Ansori telah menemui beliau. Syeikh Zakaria bertanya kepada Sayyid Ahmad Dardir tentang keramatnya itu lalu beliau mengiayakan. Lalu Syeikh Zakaria meminta kepada Sayyidi Ahmad untuk bertanya kepada Rasulullah SAW dalam mimpi kelak keadaan beliau. Pada malamnya Sayyidi Ahmad bertanya kepada Rasulullah SAW keadaan Syeikh Zakaria. Jawab Rasulullah SAW, “Gurumu itu amat baik tetapi melupaiku kerana tidak menziarahiku.” Keesokannya Sayidi Ahmad memberitahu apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Syeikh Zakaria amat sedih dan meminta kepada Sayyidi Ahmad memberitahu bahawa beliau bukan tidak mahu menziarahi Rasulullah SAW di Madinah tetapi keadaan beliau yang tua dan uzur tidak mungkin untuk bermusafir jauh. Pada malam tersebut, sekali lagi Sayyidi Ahmad memberitahu kepada Rasulullah SAW sebagaimana permintaan Syeikh Zakaria tadi. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada Sayyidi Ahmad, “Aku berada di sisi As-Syafie (Imam Syafie) pada waktu Asar setiap hari Jumaat.” Sejak hari itu, Syeikh Zakaria Al-Ansori selalu menziarahi Imam Syafie pada setiap hari Jumaat pada waktu Asar. Haji Ali berkata lagi, demikian juga Syeikh Soleh Jaafari kerana pada saat ini turut dihadiri oleh Rasulullah SAW.

Selepas menceritakan hal tersebut, Haji Ali memimpin tangan saya masuk ke maqam Imam Syafie. Dalam maqam tersebut, teman-teman lain telah berkumpul menanti untuk membacakan burdah. Saya menjemput Haji Ali duduk bersama-sama saya di hadapan sahabat-sahabat lain. Haji Ali meminta kami membacakan Surah Yaasin dan diniatkan kepada Imam Syafie.Selesai bacaan Yaasin yang memakan masa hampir 10 minit itu, burdah Imam Busiri dialunkan beramai-ramai bergema di segenap ruang dalam maqam tersebut. Burdah yang ditulis oleh Imam Busiri itu mempunyai rahsia yang tersendiri. Hanya ikhlas semata-mata meminta syafaat bertawasul kepada Rasulullah SAW, dengan izin Allah, Dia menyembuhkan sakit lumpuh yang beliau hadapi. Di akhir penulisan burdah tersebut, Imam Busiri bermimpi bertemu Rasulullah SAW dalam mimpi dan Baginda SAW menyapu kaki Imam Busiri lalu dengan izin Allah sembuhlah lumpuh beliau. Rasulullah SAW juga telah memberikan kain serban beliau (iaitu burdah) kepada Imam Busiri dan dengan itu dinamakan qasidah karangan beliau dengan Burdah Busiri. Selesai bacaan burdah, saya membacakan doa susunan Syeikh Abdul Ghani Soleh Jaafari.

Sebelum bersurai, Haji Ali berdoa sekali lagi di sisi maqam Imam Syafie dan diakhiri dengan bacaan Al-Fatihah yang dihadiahkan buat Rasulullah SAW. Haji Ali sekali lagi menceritakan kepada teman-teman apa yang beliau ceritakan kepada saya sebentar tadi. Kata beliau dalam Bahasa Arab sebagai mengakhiri pertemuan petang itu, “Alangkah bahagianya kamu sekalian, majlis ini turut dihadiri oleh Rasulullah.”

ALLAH CIPTAKAN KEKASIHNYA DENGAN SEBAIK-BAIK CIPTAAN

March 16th, 2008 by abnajaafariyah

Sabda Baginda SAW, “Sesungguhnya Allah menulis tentang takdir ciptaan-Nya 50,000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi.” Ketika Baginda SAW ditanya, “Bilakah engkau dilantik sebagai nabi?” Jawab Baginda SAW, “Ketika (Nabi) Adam antara roh dan jasad.” (Diriwayatkan oleh Muslim, Ibnu Hibban dan Baihaqi.)

Imam Abu Jaafar Muhammad Al-Baqir r.anhu ditanya, “Bagaimana Rasulullah SAW mendahului para nabi sedangkan Baginda SAW terakhir diutuskan?” Jawabnya. “Tatkala Allah mengambil perjanjian dengan sekalian roh dari zuriat Nabi Adam, lalu Allah bertanya mereka, “Tidakkah Aku ini Tuhan kamu semua?”, (sebagaimana Firman-Nya dalam Surah Al-A‘Araf ayat 172) adalah Baginda SAW yang pertama menjawab, “Bahkan”, demikian itu Baginda SAW lah yang mendahului para nabi lain.” (Diriwayatkan oleh Abu Sahl Al-Qathan dalam kitabnya “Amaliyah”, juga disebut oleh As-Solihiy dalam kitabnya “Subul Al-Huda War Rosyad” serta Imam Suyuti dalam “Al-Khosois Al-Kubra”.)

Diriwayatkan dari Sya’bi, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, “Wahai Rasulullah!Bilakah engkau dilantik menjadi nabi?” Jawab Baginda SAW, “Ketika (Nabi) Adam antara roh dan jasad, ketika itu Dia mengambil perjanjian dariku.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad dan Ibnu Ishaq.)

Diriwayatkan dari Saidina ’Ali bin Abi Talib r.anhu,bahawa beliau berkata, “Allah tidak akan membangkitkan seorang nabi pun-bermula dari Nabi Adam AS hingga mereka yang selepasnya-kecuali mereka semua telahpun mengangkat janji setia kepada Nabi Muhammad SAW iaitu jika mereka dibangkitkan kelak akan beriman dengan Baginda SAW dan membantunya, maka begitu juga dijanjikan terhadap kaum masing-masing.” (Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Jarir At-Tobari dalam tafsirnya.)

Diriwayatkan: Tatkala Allah menciptakan cahaya (nur) Nabi Muhammad SAW, Dia memerintahkan agar cahaya Baginda SAW tersebut memandang kepada sekalian cahaya para nabi lain, lalu cahaya Baginda SAW menyinari ke atas cahaya para nabi lain. Lalu cahaya sekalian para nabi bertanya kepada Allah, “Wahai Tuhan kami! Cahaya apakah yang sedang menerangi kami ini?” Firman Allah, “Inilah dia cahaya Muhammad bin Abdullah, jika kamu beriman dengannya akan Aku jadikan kamu sekalian para nabi.” Mereka menjawab, “ Kami beriman dengan kenabiannya.” Allah berfirman lagi, “Aku akan menjadi saksi atas perjanjian kamu ini.” Mereka menjawab, “Ya”. Demikian Allah berfirman dalam Surah Ali-‘Imran ayat 81 yang bermaksud: Dan ingatlah, ketika Allah mengambil perjanjian dari para nabi dengan berfirman, “Apa saja yang Aku berikan kepada kamu iaitu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan beriman kepadanya dan membantunya dengan bersungguh-sungguh. Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku ini?” Mereka menjawab, “Kami mengakui.” Allah berfirman lagi, “Jika demikian, saksikanlah (wahai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.” (Disebutkan oleh Imam As-Subki dalam kitabnya “At-Takzim Wal Minnah”)

Imam As-Subki dalam kitabnya “At-Takzim Wal Minnah” menyebut, “Dalam ayat Al-Quran ini menerangkan betapa agungnya kedudukan Baginda SAW yang tidak dapat disembunyikan lagi, kerana kenabian Baginda SAW serta risalahnya adalah umum bagi sekalian makhluk dari zaman (Nabi) Adam hingga kiamat,maka jadilah sekalian para nabi serta umat mereka dari kalangan umat Baginda SAW sebagaimana sabda Baginda SAW, “Aku diutuskan kepada manusia keseluruhannya.” Iaitu tidak dikhususkan manusia pada zaman Baginda SAW sahaja bahkan mereka yang sebelumnya, kerana demikian menerangkan sabda Baginda SAW, “Aku dilantik sebagai nabi sedangkan (Nabi) Adam masih antara roh dan jasad.”

Apabila kita mengetahui demikian, maka tentunya Nabi Muhammad SAW adalah nabi sekalian Anbiya’,apatah lagi lebih jelas ketika di Akhirat: Sekalian nabi berada di bawah panji Baginda SAW, ketika di dunia demikian juga: Iaitu pada malam Israk Mikraj, Baginda SAW mengimami solat antara para nabi lain.

Diriwayatkan daripada Ka’ab Al-Ahbar berkata, “Tatkala Allah menghendaki bagi menciptakan Nabi Muhammad SAW, Dia memerintahkan kepada Jibril agar membawa tanah dari pusat bumi yang tanah tersebut bercahaya yang menyinari. Lalu Jibril mendatangi kepada malaikat lain dan Jibril mengambil tanah dari tapak kubur Baginda SAW yang mulia iaitu yang berwarna putih yang bersinar-sinar, lalu tanah tersebut diuli bersama air Tasnim (sejenis air sungai yang mengalir dalam syurga) hingga membentuk seperti permata putih yang terpancar cahaya keagungannya, lalu telah ditawaf sekalian malaikat di sekitar ’Arasy, Kursi, yang berada di langit,bumi,bukit bukau serta lautan. Oleh demikian, sekalian makhluk Allah telah mengenali kemuliaan Baginda SAW sebelum dikenali (Nabi) Adam.” (Diriwayatkan oleh Abu Saad Al-Naisaburi dalam kitab “Syaraf Al-Mustafa” dan Ibnul Jauzi dalam “Al-Wafa”).

Berkata Abdullah bin ‘Abbas r.anhuma: Asal tanah yang dicipta Rasulullah SAW itu dari perut bumi di Mekah iaitu dari tapak binaan Kaabah di pusat bumi, maka jadilah Baginda SAW itu dituruti sekalian ciptaan lain”.

Dari Jabir bin Abdullah r.anhuma bertanya, “Wahai Rasulullah! Apakah ciptaan pertama dari makhluk Allah sebelum diciptakan segala-galanya?” Sabda Rasulullah SAW, “Wahai Jabir! Sesungguhnya Allah menciptakan cahaya (nur) nabi engkau sebelum Dia menciptakan segala-galanya, lalu Dia menjadikannya sebagai putaran kekuasaan-Nya terhadap apa yang dikehendaki-Nya.Pada masa itu belum lagi tercipta Luh Mahfuz, Qalam, syurga, neraka, malaikat, langit, bumi, matahari, bulan, jin dan manusia. Tatkala Allah menghendaki menciptakan ciptaan-Nya yang lain, lalu Allah membahagikan dari cahaya tersebut (cahaya Baginda SAW tadi) kepada empat bahagian (juzuk): Bahagian pertama diciptakan Qalam, bahagian kedua Luh Mahfuz, bahagian ketiga ‘Arasy dan manakala bahagian keempat Allah bahagikan lagi kepada tiga bahagian yang lain. Lalu Allah menciptakan bahagian pertama tadi malaikat bagi menanggung ’Arasy, bahagian kedua Kursiy, bahagian ketiga malaikat-malaikat lain, manakala bahagian keempat Allah bahagikan lagi kepada empat juzuk yang lain, lalu Allah ciptakan bahagian pertama langit, bahagian kedua lapisan bumi, bahagian ketiga syurga dan neraka, manakala bahagian keempat dibahagikan lagi kepada empat bahagian lain: Lalu Allah menciptakan dari bahagian pertama penglihatan bagi orang-orang mukmin, bahagian kedua hati mereka iaitu mengenali Allah (makrifatullah) dan bahagian ketiga cahaya kalbu mereka iaitu kalimah Tauhid, Lailahaillah Muhammad Rasulullah. (Disebut hadis ini oleh Imam Al-Qostalani dalam kitab “Al-Mawahib”, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Al-Makki dalam “Fatawa Al-Hadithiyah”.)

Diriwayatkan dari Saidina ‘Ali bin Husain dari bapanya (Saidina Husain bin ‘Ali) dan dari datuknya (Saidina ‘Ali bin Abi Talib) dari Nabi Muhammad SAW bersabda, “Ciptaan cahayaku di hadapan Tuhanku selama 14 ribu tahun sebelum ciptaan (Nabi) Adam.” (Diriwayatkan oleh Ibnul Qothan dalam ahkamnya,juga disebut oleh As-Solihiy dalam “Subul Al-Huda War Rosyad”.)

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.anhuma: Adalah Nabi Adam itu diciptakan pada hari Jumaat iaitu antara waktu gelincir matahari hingga waktu Asar, kemudian Allah menciptakan pasangannya Hawa’ dari tulang rusuk sebelah kiri di ketika tidurnya. Tatkala Adam terjaga dari tidurnya dia melihat Hawa’ berada di sebelahnya lalu dihulurkan tangannya kepada Hawa’ akan tetapi ditegur oleh malaikat. Bertanya Adam, “Tidakkah dia diciptakan untukku?” Jawab malaikat, “Hingga kamu tunaikan mahar terlebih dahulu.” Adam bertanya, “Apakah mahar tersebut?” Jawab malaikat, “Iaitu selawat ke atas Muhammad sebanyak tiga kali” atau dalam riwayat lain 20 kali. (Rujuk “Al-Mawahib Al-Ladunniyah” oleh Imam Al-Qostolani dan “Syarah Al-Kabir” oleh Sayyidi Ahmad Dardir dan “Bustan Al-Wa’izin” oleh Ibnul Jauzi.)         

Diriwayatkan tatkala Nabi Adam dikeluarkan dari syurga, Baginda melihat tertulis pada tiang-tiang ‘Arasy dan setiap tempat dalam syurga nama “Muhammad” diiringi selepas nama Allah, lalu berkata Adam, “Wahai Tuhan! Siapakah Muhammad ini?” Firman Allah, “Ini ialah anakmu yang jika tidak dia nescaya Aku tidak akan menciptakanmu.” Berkata Adam lagi, “Wahai tuhan! Dengan kehormatan anak ini (Nabi Muhammad) rahmatilah bapanya ini (Nabi Adam).” Lalu diseru : Wahai Adam! Jika kamu meminta syafaat kepada Kami dengan Muhammad nescaya Kami akan memberikan syafaat padamu.” (Disebut oleh Al-Waqidi dalam “Futuh As-Syam” dan Al-Qostalani dalam “Al-Mawahib”.)

Sabda Rasulullah SAW, “Tatkala Adam melakukan kesilapan dengan memakan buah larangan Allah dalam syurga,Baginda berkata, “Wahai Tuhan! Aku memohon dengan hak Muhammad agar Engkau ampuni aku.” Allah berfirman, “Wahai Adam! Bagaimana engkau mengenali Muhammad sedangkan Aku belum menciptakannya?” Adam menjawab, “Tatkala Kau menciptakan aku, Kau meniupkan roh ke dalam jasadku maka aku mengangkat kepalaku lantas aku melihat pada tiang-tiang ‘Arasy tertulis ((Lailaha illallah Muhammad Rasulullah)), maka tahulah aku bahawa Engkau tidak akan menyandarkan nama seseorang kepada-Mu kecuali dia adalah yang Engkau kasihi dikalangan makhluk-Mu.” Firman Allah, “Benarlah engkau wahai Adam. Dia amat Aku cintai berbanding sekalian makhluk lain. Jika engkau meminta daripada-Ku dengan haknya nescaya Aku ampuni engkau. Jika tidak kerana Muhammad, tidak Aku ciptakanmu wahai Adam. Dia ialah nabi yang terakhir dari zuriatmu.” (Diriwayatkan oleh Al-Hakim, disahkan oleh Al-Baihaqi dan Abu Nu’aim dalam Ad-Dalail serta At-Tobrani dalam Ausat Wasoghir juga Ibnu ‘Asakir dan Al-Ajriyy dari Saidina Umar Al-Khattab r.anhu.)

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Asakir dari Salman berkata: Telah datang Jibril kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata, “Sesungguhnya Tuhanmu berfirman, “Jika Aku mengambil (Nabi) Ibrahim sebagai teman-Ku,maka Aku mengambilmu sebagai kekasih-Ku. Tidaklah Aku ciptakan sesuatu makhluk yang lebih mulia daripadamu. Sesungguhnya telah Aku ciptakan dunia serta penduduknya agar mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukanmu di sisi-Ku. Jika tidak keranamu nescaya tidak aku ciptakan dunia ini.”

Tatkala mengandung Hawa’ bagi anaknya yang bernama Syith,telah terpancar kemuliaannya kerana Nabi Muhammad SAW. Ini kerana cahaya Baginda SAW berpindah dari Nabi Adam kepada anaknya Syith. Sebelum kewafatan Nabi Adam, Baginda mewasiati anaknya Syith yang kemudiannya Syith juga mewasiati anaknya dengan wasiat yang sama: Iaitu agar meletakkan cahaya yang mulia ini hanya kepada wanita yang suci. Jadilah wasiat ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi hingga tiba kepada Abdul Mutalib dan anaknya Abdullah.

Allah telah mensucikan nasab keturunan Baginda SAW dari ‘Sifah Jahiliyyah’ iaitu cara pernikahan kaum jahiliyah yang tentunya tidak berlaku kepada datuk moyang Nabi Muhammad SAW termasuk ayahandanya Saidina Abdullah dan bondanya Saidaitina Aminah.

Terjemahan buku kecil bertajuk: “Saidina Muhammad SAW, Adalah Nabi Antara Anbiya’ dan Ciptaan Pertama” tulisan Syeikh Abu Hashim As-Syarif cetakan Maktabah Ar-Rahmatul Muhdah Mansurah, Mesir.

SAMBUTAN BESAR-BESARAN MAULID RASUL DI MEKAH!

March 15th, 2008 by abnajaafariyah

Penerbangan dari Kaherah menuju ke Jeddah terasa sangat lama. Sedangkan 2 jam itu agak singkat.Tetapi perasaan tidak sabar untuk sampai ke Mekah dan Madinah menyebabkan saya resah bercampur gembira. Tak sabar rasanya untuk menjejakkan kaki di tanah haram. Rombongan kami ini diketuai sendiri oleh Syeikh Abdul Ghani Jaafari bersama 100 orang warga Arab yang lain bertolak dari Kaherah 8 Rabiul Awal, tiga hari sebelum Sambutan Maulid Rasulullah. Walaupun keuzuran kerana usia yang telah mencecah 70 tahun, namun Syeikh Abdul Ghani tetap menggagahi diri berbekalkan semangat membara menuju ke Tanah Haram. Apa tidaknya, inilah kali pertama dalam sejarah perayaan maulid Nabi Muhammad s.a.w dibenarkan semula disambut di negara Saudi. Bahkan Majlis Tertinggi Tariqat Kesufian Mesir baru-baru ini telah memutuskan untuk merayakan sambutan Maulid Nabi pada tahun ini di Madinah-tidak sebagaimana kelazimannya sekalian pencinta Nabi Muhammad s.a.w akan mengadakan perarakan bermula di hadapan Masjid Syeikh Soleh Jaafari di Darrasah. Bermula di situ mereka akan bergerak menuju ke Masjid Saidina Husein bin Saidina ‘Ali, cucu Rasulullah s.a.w. Namun, tahun ini tidak. Semua para pencinta Rasulullah s.a.w akan berkumpul di dataran Masjid Nabawi sebagai menyahut jemputan Kementerian Wafaf Saudi yang menjemput seluruh umat Islam mengadakan sambutan di sana.

Sejak tercetus revolusi tahun lalu, Saudi kian pulih dari pelbagai aspek. Dinasti Saud yang memerintah Saudi sejak pengasasnya, Raja Abdul Aziz bin Andul Rahman ali Sa’ud pada tahun 1876 hingga 1953 masihi hingga ke pemerintah yang terakhir iaitu raja kelima bagi Dinasti Saud, Raja Abdullah bin Raja Abdul Aziz. Pelbagai perubahan telah dialami oleh negara Saudi sejak revolusi tersebut. Selain membenarkan penubuhan parti-parti politik yang sebelum ini dilarang sama sekali,Saudi kini mula membenarkan kegiatan kesufian dan tasawuf-sesuatu yang dilarang sebelum ini. Pemerintahan baru ini juga bercadang menukar nama negara ‘Saudi’ kepada satu nama lain kelak.

Setibanya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, 3 buah bas telah menyambut kedatangan kami bersama  wakil Jaafariyah di Saudi. Sesuatu yang memeranjatkan,lapangan terbang penuh sesak dengan ribuan manusia. Rupanya bukan sahaja kami dari Mesir, bahkan umat Islam dari pelusuk dunia membanjiri tanah haram bagi menyambut perayaan Nabi mereka yang dikasihi itu. Kelihatan pelbagai kumpulan tariqat lain antaranya dari Yaman, Syria dan India. Jelas kegembiraan pada wajah mereka. Perjalanan kami dari Jedah yang menaiki 3 buah bas itu mengambil masa hampir 2 jam untuk sampai ke penginapan kami. Apa tidaknya kerana kesesakan lalu lintas yang maha dahsyat berlaku. Dalam perjalanan, kami singgah terlebih dahulu di rumah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang sebelum ini dijadikan perpustakaan. Namun kini, ia dibuka semula dan dikatakan akan menjadi salah satu tempat sambutan kali ini. Di sana juga berlaku kesesakan lalu lintas yang memaksa kami berjalan dari tempat letak bas ke rumah tersebut hampir 1 kilometer. Sepanjang perjalanan, kami melihat di kiri kanan jalan sepanduk dan kain rentang yang mengalu-alukan perayaan yang mulia ini. “AHLAN BI MILADIRRASUL” (Selamat datang dengan perayaan Maulid Rasul). Pasukan keselamatan kelihatan berada di mana-mana. Kali ini bukan untuk menghalang orang bertabaruk seperti sebelum ini, kehadiran mereka untuk menjaga keselamatan para pencinta Rasulullah s.a.w yang datang dari pelbagai negara. Seorang penduduk tempatan memberitahu, dianggarkan hampir setengah juta umat Islam akan tiba menjelang 12 Rabiul Awal nanti. Hampir menyamai jumlah pada musim haji.Setibanya kami di sana terpegun kami melihat rumah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang dihiasi dengan sinaran lampu warna warni serta pelbagai hiasan lain. Ratusan umat Islam telah berhimpun bahkan telah melimpah ke luar rumah tersebut sebagai mengambil berkat dari tempat yang mulia itu.

Kami beredar setelah berdoa dan bertabarruk dan menuju destinasi seterusnya iaitu maqam ayahanda Baginda, Saidina Abdullah bin Abdul Muttalib. Maqam beliau telah dibina masjid yang besar dan cantik sebagai memuliakan ayah kekasih Allah itu. Di sana begitu juga keadaan yang berlaku dan seterusnya ialah maqam bonda Baginda,Saidatina Aminah binti Wahab. Maqam beliau yang terletak di atas bukit juga telah dibina masjid yang cantik sebagai memuliakan bonda kekasih Allah itu. Kemudian kami beredar ke tempat menginap iaitu sebuah dewan dan setelah membersihkan diri, dengan diketuai oleh Syeikh Abdul Ghani kami bergerak ke Masjidil Haram. Sampai di laman masjid yang paling mulia itu, sekali lagi lautan manusia berkhemah di sekitar Masjid Haram. Kami mara ke dalam masjid untuk tawaf. Setengah jam lagi masuk waktu Zohor. Selesai solat sunat, kami mengiringi Syeikh Abdul Ghani menziarahi setiap halaqah dalam masjid tersebut. Kelihatan Habib Umar dari Yaman bersama rombongannya di satu sudut lalu mereka menyambut kedatangan kami. Beredar dari halaqah tersebut, seorang wajah yang bersih mendekati kami. Wajahnya pernah dilihat sebelum ini.“Itulah Dr. Ali  Sabuni,” kata teman saya. Sempat juga bersalam dengannya. Tidak berapa jauh dari kami, kelihatan kumpulan manusia berkulit agak hitam. Saya mendekati kumpulan terbabit. Rupanya ulamak dari Habsyah, Syeikh Abdullah Harari. Seorang ulamak yang agak keras terhadap golongan Wahabi.

Azan zohor berkumandang dan solat didirikan. Selesai solat, diadakan taklimat penerangan terhadap majlis kami ini yang akan disampaikan oleh wakil Kementerian Wakaf, Syeikh Sayyid Ahmad bin Muhammad Alawi Al-Maliki. Beliau dipertanggungjawabkan bagi mengetuai sambutan nenda beliau, Rasulullah s.a.w. Al-Marhum ayahanda dan datuk beliau adalah ulamak terkenal di Mekah. Sebut sahaja keturunan ‘Alawi’ sekalian manusia di Tanah Haram pasti mengenalinya. Sama ada kawan atau lawan. Hari kewafatan ayahanda beliau, Almarhum Sayyid Muhammad mencatat sejarah apabila lautan manusia mengiringi jenazahnya 4 tahun lalu.Sayyid Muhammad pernah dihukum sesat bahkan dikafirkan oleh golongan fanatik Wahabi suatu ketika dahulu. Keturunannya dari Saidina Hasan bin Ali itu amatlah disegani sekalian masyarakat.Almarhum Sayyid Muhammad sendiri telah membina madrasah di Rusayfah, dalam kota Mekah.Dalam taklimatnya, anakandanya juga penggantinya Sayyid Ahmad itu,beliau menyebut sambutan akan bermula esok 9 Rabiul Awal. Tempat himpunan ialah di maqam ayahanda Rasulullah s.a.w. manakala pada 10 hari bulan pula, tempat himpunan ialah sekitar maqam bonda Rasulullah s.a.w dan pada 11 hari bulan ialah rumah kelahiran Rasulullah s.a.w. Acara kemuncak pada 12 Rabiul Awal akan dibuat himpunan besar-besaran di Masjid Nabawi bermula lepas zohor hingga Isyak.

Selesai taklimat, saya dan seorang teman hendak ke tandas. Kelihatan banyak perubahan telah berlaku dalam masjid tersebut antaranya telaga zam-zam yang sebelum ini ditutup telah dibuka semula. Ketika mencari tandas, kami terpandang satu kawasan yang dahulunya dijadikan tandas telah ditutup sementara. Kata warga tempatan, kawasan ini sedang dibaikpulih untuk dijadikan tempat solat. Saya bertanya, inikan tandas?! Katanya, inilah dia rumah Sayyidah Khadijah. Wahabi dulu menjadikan rumah isteri kesayangan Nabi ini tandas kononnya bagi mengelak orang mengambil berkat. Itulah kejahilan mereka yang nyata. Mengaku sayang kepada Nabi tapi hakikatnya benci. Seorang teman saya terkena gatal-gatal pada tubuhnya setelah membuang air di kawasan tersebut pada musim haji lalu.

Tanggal 9 Rabiul Awal,lepas asar, kami mula berkumpul di perkarangan masjid ayahanda Nabi, Saidina Abdullah.Menjelang maghrib, segenap ruang masjid diterangi lampu yang bercahaya. Majlis yang bermula lepas Isyak itu, diisi dengan kata-kata penuh semangat dari beberapa ulamak antara mereka ialah Dr.Ali Sobuni. Keesokannya pula kami berhimpun di perkarangan masjid bonda Baginda,Saidatina Aminah.

Seterusnya pada hari 11 Rabiul Awal, selepas solat Asar kami bergerak menuju rumah kelahiran Rasulullah s.a.w.Seperti yang disangka,setibanya kami di kawasan letak kenderaan, kami terpaksa berjalan kaki yang mengambil masa selama 20 minit bersama-sama ribuan manusia yang semuanya menuju ke destinasi yang sama. Kelihatan kiri kanan jalan askar dan polis berkawal. Di sekeliling rumah tersebut telah disediakan hamparan untuk kami sejauh mata memandang. Saya memandang kanan, kiri,hadapan dan belakang.Semuanya lautan manusia.  Ini mengingatkan saya satu catatan yang pernah dibaca sebelum ini berkenaan dengan sejarah maulid sebelum penguasaan puak Wahabi. Berikut catatannya:

Al-Naqqash, seorang ‘ulama di dalam bidang al-Quran mengatakan bahawa tempat kelahiran Nabi merupakan tempat di mana doa diterima pada waktu tengahari setiap hari Isnin. Pendapat beliau ini tercatat di dalam kitab al-Fasi, “Shifa’ al-Gharam” (Jilid 1, ms:199) dan juga kitab-kitab lain. Ahli sejarah abad ke-7 hijrah, Abul ‘Abbas al-’Azafi dan anaknya Abul Qasim al-’Azafi telah menulis di dalam kitab (tidak pernah diterbitkan), “ad-Durr al-Munazzam”, "Mereka yang menunaikan ‘ibadah haji dan mereka yang sedang melakukan pengembaraan menyaksikan bahawa tiada jual-beli ataupun sebarang perbuatan lain dilakukan pada hari Maulidurrasul di Mekah, melainkan mereka berpusu-pusu memenuhi tempat kelahiran Nabi yang diberkati. Pada hari itu juga, Ka’bah dibuka dan orang ramai dibenarkan untuk menziarahinya."Menurut catatan yang bersumber daripada 3 ahli sejarah abad ke-10 hijrah yang dianggap mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tiada tandingannya pada zaman tersebut, Ibnu Huhayra di dalam kitabnya “al-Jami’ al-Latif Fi Fasl Makkah Wa Ahliha” (ms:326), al-Hafiz Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya “al-Mawlid ash-Sharif al-Mu’azzam” dan al-Nahrawali didalam kitabnya “al-I’lam Bi-a’lam Bayt Allah al-Haram” (ms:205).Pada 12hb Rabi’ul Awal setiap tahun selepas solat Maghrib keempat-empat (wakil keempat-empat mazhab) Qadi kota Makkah dan sekumpulan besar orang yang terdiri daripada para fuqaha’ (ulama) dan fudala’ (mereka yang utama) kota Mekah, para syeikh, pemimpin-pemimpin madrasah sufi dan murid-murid mereka, para hakim dan para muta’ammamin (ulama) meninggalkan masjid dan pergi secara beramai-ramai untuk menziarahi tempat kelahiran Nabi s.a.w sambil berzikir dan membaca tahlil (La Ilaha Illallah). Rumah-rumah yang terletak sepanjang jalan tersebut diterangi dengan lampu-lampu dan lilin-lilin besar dan ramai daripada penghuni-penghuni rumah tersebut memenuhi jalan. Mereka semua memakai pakaian baru dan membawa anak-anak bersama. Setibanya di tempat kelahiran Nabi s.a.w doa khas pun dibacakan dan karamah-karamah yang berlaku semasa kelahiran Nabi s.a.w pun dibacakan. Seterusnya doa untuk Sultan, Amir Mekah dibacakan dan Qadi yang bermazhab Shafi’i dibacakan dan kesemua mereka berdoa dengan penuh merendah diri. Sebelum solat Isyak, rombongan tadi pun kembali ke Masjidil Haram yang dipenuhi oleh manusia dan mereka mengambil tempat dan membentuk saf di kawasan Maqam Ibrahim. Di Masjidil Haram, seorang penyeru akan bertahmid (Al-Hamdulillah) dan bertahlil dan sekali lagi berdoa untuk Sultan, Amir dan Qadi yang bermazhab Shafi’i. Seterusnya, azan untuk solat Isyak dilaungkan. Selepas solat Isyak, mereka pun bersurai. Peristiwa yang serupa ini juga dirakamkan oleh al-Diyarbakri (meninggal 960) di dalam kitabnya Ta’rikh al-Khamis.”

Ketika mengenangkan sejarah tersebut, tiba-tiba azan maghrib berkumandang membelahi ruang udara Tanah Haram Mekah. Nun jauh di hadapan saya dapat melihat seorang imam mengambil tempatnya untuk mengimami kami lalu solat didirikan. Selesai saja solat, pintu rumah kelahiran Rasulullah s.a.w yang dikunci tadi dibuka dan berpusu-pusu manusia mendekatinya. Namun,puluhan askar berada di hadapan pintu rumah yang mulia itu. Jumlah manusia yang terlalu ramai menyebabkan ia tidak dibenarkan untuk masuk. Kelihatan beberapa orang yang berada di pintu rumah yang mulia itu mengusap-ngusap dan mengucup pintu tersebut. Ada juga yang berdoa meminta hajat kepada Allah kerana di situ dikatakan doa mustajab. Saya dan rombongan kembali mengambil tempat untuk mengikuti majlis seterusnya. Kami mengadakan majlis bacaan madaih sementara azan Isyak. Selesai solat Isyak, barulah majlis bermula dengan bacaan Al-Quran. Kemudian, seorang pembaca madaih dijemput lalu beliau telah mengalunkan burdah Imam Al-Busiri. Kelihatan ramai mereka yang menangis tersedu-sedu menghayati burdah berkenaan. Ia diikuti dengan ucapan ulamak iaitu Dr. Said Ramadhan Al-Buti, Habib Umar dari Yaman dan Dr.Ali Jumaah, Mufti Mesir. Majlis berakhir dan pada malam itu juga kami terus bertolak ke Madinah bagi sambutan kemuncak.

Sepanjang perjalanan dengan bas, saya tidak tidur kerana kami semua beramai-ramai membaca madaih. Apatah lagi, jalan ke Madinah malam itu sesak dengan kenderaan-kenderaan yang pelbagai dari Mekah. Selain kenderaan persendirian, Kementerian Pengangkutan Saudi telah menyediakan berpuluh-puluh bas secara percuma bagi membawa umat Islam dari Mekah ke Madinah. Kota raya Mekah lengang seketika.

Setelah beberapa jam,kami tiba di kawasan Masjid Nabawi, kami sekali lagi terpaksa berjalan lalu di halamannya telah tersedia khemah untuk kami berehat. Keadaan jalan menuju ke sekitar Masjid Nabi utu,sesak teruk. Kelihatan pasukan polis terpaksa bekerja keras mengawal lalu lintas selain menjaga keselamatan para pengunjung. Di saat kami dapat melepasi lautan manusia menjejakkan kaki di perkarangan masjid mulia itu,entah kenapa, tanpa saya sedari air mata saya mula mengalir ketika melihat masjid kedua termulia itu. Doa saya selama ini untuk menziarahi "Sebaik-baik Manusia" telah tercapai. Perasaan makin sebak melihat kubah hijau yang tersergam indah itu. Bertuah kubah tersebut kerana dapat memayungi kekasih Allah serta dua sahabat Baginda s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar dan Umar r.anhuma. Hati saya ingin terus ke raudhah bagi mengucapkan salam ke atas Baginda s.a.w. Tapi di pintu masuk masjid sesak dengan manusia di samping kawalan askar yang ketat. Keberadaan mereka hanya untuk memastikan keamanan terkawal apatah lagi adab-adab yang perlu dijaga ketika berada dalam masjid. Hanya sejam lagi azan Subuh akan berkumandang.Sekalian manusia mula membanjiri sekeliling Masjid Nabi tersebut. Kami berehat dalam khemah hinggalah azan berkumandang. Kami difahamkan terdapat hampir 50 buah televisyen diletakkan di sekeliling Masjid Nabi tersebut dan sepanjang 4 hari sambutan maulid tersebut,ia dipancar secara langsung oleh tv Saudi serta beberapa tv milik negara Arab yang lain.

Selesai solat Subuh, Sayyid Ahmad bin Muhammad Alawi selaku orang yang bertanggungjawab terhadap majlis sekali lagi memberikan taklimat. Katanya, selepas ini tiada apa-apa acara rasmi disambut hinggalah menjelang waktu Asar.Beliau banyak menasihati para hadirin agar lebih menjaga adab apatah lagi sewaktu berada bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Katanya lagi, kawalan akan diketatkan dalam raudhah dan beliau menasihati agar mengikut perintah yang bakal dikeluarkan oleh ketua polis yang akan berkawal dalam kawasan raudhah. Tambah beliau lagi, pihak keselamatan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada golongan yang melampau ketika berada hadapan maqam Rasulullah s.a.w yang disifatkan ‘bakal menimbulkan fitnah kepada masyarakat’.

Syeikh kami,Syeikh Abdul Ghani berhasrat untuk mengadakan majlis ringkas di hadapan maqam Baginda s.a.w selepas zohor nanti namun kerana kesesakan menyebabkan syeikh menangguhkan hasratnya esok. Beliau bercadang untuk pulang ke Mesir lusa. Katanya, beliau berhasrat menziarahi maqam Baginda s.a.w dan perkuburan Baqie. Teringat kepada perkuburan Baqie. Lantas saya berjalan ke kawasan perkuburan yang terletak tidak jauh dari Masjid Nabi. Masya Allah, sudah banyak binaan telah dibina kembali di atas kubur yang sebelum ini menyaksikan Baqie hanyalah tanah rata. Tiada apa-apa binaan kecuali batu nisan sebagai penanda. Tidak diketahui di mana kubur Saidina Uthman, Saidatina Khadijah, Sayyidah Fatimah anakanda Rasulullah dan keluarga Baginda yang lain. Namun,itu dulu. Ketika Saudi dalam ‘kegelapan dan kejahilan’. Tapi kini telah berubah. Selain binaan kubah,setiap kubur juga diletakkan papan tanda yang mencatat nama serta biografi ringkas tuan maqam. Ini lebih mudah bagi kami menziarahinya. Sekali lagi saya mengalirkan air mata, sebak berada di Baqie. Kelihatan ramai mereka yang berdoa di sisi perkuburan tersebut, bertawassul dengan mereka yang disemadikan di situ.

Saya kembali ke khemah melalui lautan manusia di laman masjid. Terpandang sekali lagi kubah hijau Masjid Nabi. Keramat sungguh kubah ini. Saya melambai tangan ke kubah sambil mengucapkan salam ke atas Rasulullah. Setahu saya, pernah sekali kubah ini cuba dibuang oleh puak Wahabi tetapi gagal. Pernah juga timbul cadangan dari ulamak mereka sebelum ini yang meminta pihak berkuasa membongkar kubur Rasulullah kerana bagi mereka haram solat di masjid yang terdapat kubur di dalamnya.

Selesai solat Asar, kami mula berkumpul di halaman masjid bagi mengikuti acara seterusnya. Bacaan madaih dan burdah dialunkan hingga menjelang maghrib. Ketika itu, Masjid Nabawi bermandi cahaya kerana dihiasi lampu warna-warni yang bergemerlapan. Sesuai dengan namanya “Madinah Al-Munawarah” iaitu Bandar yang Bercahaya. Ia tentunya cahaya dari cahaya Rasulullah s.a.w. Cahaya Rasulullah s.a.w tidak akan padam dari kita meskipun padamnya dahulu cahaya matahari dan bulan dari dunia ini.Ketika asyik memerhatikan persekitaran masjid, saya terpandang sekumpulan manusia yang mengerumuni seseorang. Saya mendekati kumpulan tersebut. Kelihatan orang ramai berebut-rebut untuk bersalam dengan seorang lelaki yang berada di atas kerusi roda. Terkejut saya apabila mendapati lelaki tersebut ialah Habib Abdul Qadir As-Saqqaf. Keuzurannya akibat serangan angin ahmar dan faktor usianya tidak sama sekali menghalangnya dari menghadiri majlis gilang-gemilang itu. Dikatakan kerajaan baru Saudi menyediakan kenderaan khas menjempunya dari kediamannya di Jedddah ke Masjid Nabawi sambil diiringi beberapa motosikal polis trafik dan beberapa kenderaan pacuan empat roda tentera. Menurut pandangan ulamak, beliau ialah wali qutub zaman ini. Saya mengambil peluang bersalam dan mencium tangan dan dahinya. Air mata tiba-tiba bergenang. Syukur pada Tuhan dapat menemui kekasih antara kekasih-Nya. Rupanya beliau antara tetamu yang hadir pada malam bersejarah itu. Tidak lama kemudian, Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kittani dibawa masuk sambil dikawal ketat polis diikuti Habib Zain pemilik ribat di Madinah. Sewaktu ketika dahulu, madrasahnya sering diintip oleh pihak keselamatan Saudi seperti melakukan jenayah besar.Dengar khabar, kerajaan baru Saudi memberikan peruntukan kewangan bulanan kepada madrasahnya.

Kemudiannya, diikuti lagi beberapa ulamak dunia yang diiringi oleh pasukan keselamatan Saudi membawa mereka memasuki ruang utama solat di dalam masjid antaranya Syeikh Hasan Syinawi (Ketua Para Syeikh Tariqat Mesir), Syeikh Ahmad Kamil Yasin (Ketua Majlis Keluarga Al-Asyraf Mesir) dan Syeikh Dr.Judah Abul Yazid Mahdi (Timbalan Rektor Universiti Al-Azhar). Selain itu yang sempat saya temui ulamak dari Yaman  ialah Habib Abdullah bin Muhammad Syehab, Habib Ali Masyhoor (abang Habib Umar). Turut kelihatan Syeikh Amir Fadhl Abbas Dandarawi (Syeikh Tariqat Ahmadiyah Dandarawiyah), Dr.Nasr Farid Wasil (bekas Mufti Mesir) dan Dr.Ahmad Tayyib (Rektor Universiti Al-Azhar). Sementara dari India ialah Syeikh Maulana Abdul Rahman Bukhari. Turut kelihatan adik kepada Al-Marhum Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki iaitu Sayyid Abbas. Beliau masyhur dengan pembaca qasidah kerana suaranya yang merdu. Sementara ulamak dari Syria ialah Syeikh Abdul Razak Halabi, Syeikh Abu Hasan Alkardi,Syeikh Mursyid Abidin,Syeikh Adib Kalas dan Syeikh Mustafa Attirkimani. 

Selesai solat Isyak, majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran. Kami yang berada diluar dapat mengikuti siaran melalui tv di luar. Seterusnya dibacakan Sirah Nabi bermula ciptaan nur Baginda s.a.w hingga zahirnya keramat pada malam kelahiran Baginda s.a.w. Apabila diceritakan saat kelahiran Baginda s.a.w, sekalian yang hadir berdiri sebagai tanda hormat lalu selawat dibacakan. Terpancar kegembiraan pada wajah masing-masing. Tak kurang juga ada kalangan mereka yang menangis kegembiraan. Memandang sekali lagi ke kubah hijau yang dihiasi dengan lampu warna-warni dan sejalur susunan lampu lagi membentuk kalimah “Marhaban Ya Rasulallah” (Selamat datang Wahai Rasulullah). Selawat malam itu memecah keheningan malam bandar Madinah. Selesai bacaan madih, majlis diteruskan dengan ucapan. Ia dimulakan dengan Sayyid Ahmad bin Muhammad Alawi Al-Maliki sebagai alu-aluan diikuiti ucapan Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kittani. Seterusnya ucapan dari Syeikh ‘Umar Abdullah Kamil,seorang ulamak Mekah, Syeikh Hasan Syinawi, Habib Ali Masyhoor, Syeikh Abdul Rahman Bukhari dan Dr.Judah Mahdi. Setelah majlis berakhir, ramai hadirin bergegas pulang ke tanah air masing-masing malam itu juga dan sebahagiannya keesokan pagi.

Keesokannya rombongan kami dengan diketuai Syeikh Abdul Ghani memulakan ziarah perkuburan Baqie. Diikuti ziarah ke perkuburan syuhada’ di kaki Bukit Uhud antara yang disemadi di sana ialah Saidina Hamzah. Kami sempat menziarahi tempat pasukan pemanah di atas Bukit Uhud lalu bertabarruk di situ.

Kami kembali solat Asar di Masjid Nabawi. Keadaan kelihatan lengang dan kami dapat masuk serta dianugerahkan solat di dalam masjid. Selesai solat, kami mara ke kawasan raudhah lalu mengadapkan wajah kepada Rasulullah dan dua sahabat Baginda (Saidina Abu Bakar dan Umar). Sekali lagi dada sebak. Gembira hati tak terkata .Tiba-tiba air mata mengalir tanpa disedari membasahi pipi sebaik saja mulut mengucapkan salam ke atas Baginda s.a.w. Seorang pembaca madaih membaca qasidah susunan Syeikh Soleh Jaafari beramai-ramai yang dipetik dari Diwan Jaafari jilid ke-6 muka surat 210 cetakan Jawami’ul Kalim yang bermaksud:

“..Bertuahnya dunia denganmu (wahai Rasulullah) # Sejambak haruman mewangi kerana tuahmu kami rasai,

Gembira tidak terasa hari ini dapat bertemu denganmu di raudhah # Bertambah suka hati kami tak terkata,

Pada raudhah ini bersemadi Nabi Muhammad sebaik-baik manusia # Baginda akan menjawab salam ke atas mereka yang menziarahinya,

Sekalian roh orang-orang yang asyik pun bergembira # Di sisi maqam Baginda sambil mengucapkan syukur pada Tuhannya,

Pandangan (Nazrah) Baginda kepada kami pasti akan menyembuhkan hati-hati ini # Seolah-olahnya dirawati tatkala bertemu dengan Baginda,

Wahai Tuhanku! Permudahkan bagi kami menziarahi Ahmad (Rasulullah) # Hinggalah jiwa-jiwa kami mencapai apa yang diharapkan dari Baginda,

Siramilah jiwa kami dengan kebaikan dan bimbinglah ia # Mudah-mudahan ia mendapat perhatian daripada Habib (Rasulullah),

Ketika ia (hati kami) berada di hadapan Baginda # Mudah-mudahan mendapat kemuliaan dan keredhaan daripada Mustafa (Rasulullah)..”

Selesai mengucapkan salam dua sahabat Baginda yang lain iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar r.anhuma, majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Syeikh Abdul Ghani. Kami mara ke kawasan mihrab dan mendapati sebelah mimbar terdapat sebiji batu yang dikatakan tempat Rasulullah berdiri atasnya ketika berkhutbah.

Ketika perjalanan keluar dari masjid, kedengaran loceng berbunyi berdekatan telinga saya. Saya terjaga. Loceng itu rupanya jam yang menunjukkan pukul 5 pagi. Rupanya saya bermimpi berada semalaman di Tanah Haram. Satu mimpi yang saya doakan semoga jadi realiti. Semoga Allah memberikan kita petunjuk-Nya sempena kita berada dalam bulan kelahiran kekasih-Nya ini.

“ZIARAH AULIYA’ DI KAHERAH KHAS SEMPENA PILIHANRAYA”

March 5th, 2008 by abnajaafariyah

Antara kelebihan bumi Mesir ini ialah terdapat ramainya kalangan para ulamak serta wali-wali-Nya disemadikan di sini juga terdapat beberapa orang para sahabat Rasulullah SAW. Bahkan Rasulullah SAW sendiri telah melalui dan menjejakkan kaki Baginda yang mulia di bumi ini sewaktu perjalanan Baginda dalam peristiwa Israk Mikraj. Bahkan dalam catatan sejarah,terdapat kesan tapak kaki Baginda SAW yang mulia yang masih disimpan dengan baik di Masjid Sultan Qaitbai,Kaherah.Dalam masjid tersebut,masih disimpan dengan baik dua tapak kaki Baginda SAW yang dibawa pulang oleh Sultan Qaitbai,seorang raja yang memerintah Masir satu ketika dahulu. Baginda amat dikenali dengan sifat tawadhuk,rendah diri,cintakan para ulamak dan suka kepada majlis-majlis ilmu. Diriwayatkan bahawa Baginda lah yang bertanggungjawab membina binaan (qusur)pada maqam Rasulullah SAW seperti yang tersergam ketika ini.

Oleh itu,bertepatan dengan saat pilihan raya yang penuh genting ketika ini, sewajarnya mereka yang berkelapangan perlu mengadakan ziarah auliya’ khusus sebelum berlangsungnya pilihan raya ini. Sekadar berdoa di sisi maqam mereka,mudah-mudahan mustajab doa kita agar Allah memberikan kemenangan buat Islam di Malaysia. Apatah lagi berdoa serta bertawassul dengan mereka yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah.

Ziarahlah Saidina Husein (cucu Rasulullah SAW),ratusan ahli keluarga Baginda SAW di Kaherah ini serta ulamak-ulamak yang lain. Ziarahlah kesan tapak kaki Baginda SAW di Masjid Sultan Qaitbai.Berdoalah di sisi tapak kaki serta ambil berkat dengannya. Mudah-mudahan doa kita diperkenankan oleh Allah.

“HARAPAN SANG SURIA PAGI 8 MAC..”

March 4th, 2008 by abnajaafariyah

Cukuplah "SEMOGA PAGI 8 MAC 2008 INI AKAN MEBAWA SINAR BARU YANG AKAN MENYINARI BUMI MALAYSIA DENGAN CAHAYA ISLAM YANG SEBENAR MEMBAWA SERIBU RAHMAT DAN BERKAT.."

“MEMILIH PIMPINAN AKAN DISOAL KELAK”

March 4th, 2008 by abnajaafariyah

Hanya beberapa hari sahaja lagi pagi 8 Mac ini, rakyat Malaysia sekali lagi bakal menunaikan kewajipan mereka sebagai warganegara bagi menentukan corak masa depan negara untuk 5 tahun akan datang. Untuk tidak menjadikan ia sebagai satu penyesalan di akhirat kelak akibat salah pilih pemimpin, maka sewajarnya para pengundi menilai dan memikir dengan sebaik-baiknya. Ini kerana soal memilih pemimpin pasti akan disoal di akhirat kelak di hadapan Allah. Inilah yang dimaksudkan dalam setiap kali kita membaca doa iftitah pada permulaan solat, “Sesungguhnya solat aku,haji aku,hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam”.

Soal memilih pemimpin bukan soal yang kecil. Sejarah telah membuktikan betapa besarnya amanah kepimpinan ketika kewafatan Rasulullah SAW hingga para sahabat r.anhum berkumpul bagi membincangkan siapa bakal pengganti Baginda SAW sedangkan yang menguruskan jenazah Baginda SAW yang mulia hanyalah beberapa sahabat dari keluarga Baginda yang terdekat.

Detik-detik hitam ‘perang mulut’ antara pemimpin dan pengikut yang masing-masing mahu berlepas diri dari dosa yang dipikul diceritakan oleh Allah dalam Al-Quran. Perhatikan ayat dalam Surah Ibrahim ayat 21 yang bermaksud, “Dan manusia semuanya (di Mahsyar) akan berkumpul mengadap ke hadrat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada pembesar-pembesar mereka: “Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikutmu,maka dapatkah kamu menghindarkan walaupun sedikit daripada kami azab Allah? Mereka (para pembesar) menjawab: “Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami nescaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. Sama saja bagi kita, apakah kita mengeluh atau bersabar, sekali-kali kita tidak mempuyai tempat untuk melarikan diri.” Demikian dialog yang bakal berlaku dirakamkan oleh Allah dalam kitab-Nya yang sekali-kali tidak boleh kita mengesyaki atau ada rasa ragu-ragu dalam setiap ayat apatah lagi mengingkarinya. Ayat ini juga adalah dalil yang kuat bahawa soal kepimpinan tidak hanya berakhir apabila berakhirnya tempoh satu-satu kerajaan atau kekuasaan bahkan pasti akan dibangkitkan semula oleh Allah di akhirat kelak. Lalu akan terjadilah sepertimana dalam ayat tersebut bahawa masing-masing akan berlepas diri kerana semuanya telah nampak akibat yang bakal diterima sedangakan di dunia dahulu telah datang kepada mereka peringatan dari Rasul yang disambung tugasnya oleh para ulamak yang menyampaikan peringatan kepada mereka namun kerana keegoan mereka,mereka menolak.

Perhatikan lagi ayat dalam Surah Saba’ ayat 31-33, Allah menceritakan lagi dengan panjang lebar perbalahan ketua dengan pengikut yang bakal berlaku kelak:

“Dan jika kamu melihat kepada orang-orang yang zalim ketika mana mereka semua berdiri di hadapan Tuhan mereka, iaitu sebahagian mereka mengadapkan perkataan kepada sebahagian yang lain, lalu berkata orang-orang lemah dari kalangan mereka kepada pembersa-pembesar mereka “Kalaulah tidak kerana kamu,maka sudah tentu kami menjadi orang-orang beriman.” (Ayat 31)

Lalu berkata pula pembesar-pembesar mereka kepada orang-orang yang lemah (pengikut), “Adakah kami yang menghalang kamu dari petunjuk sesudah petunjuk itu datang kepadamu? (Sesekali tidak) sebenarnya kamulah yang berdosa.”(Ayat 32)

Dan berkata pula pengiku-pengikut mereka kepada para pembesar, “Tidak!Sebenarnya tipu daya kamu siang malam (yang menghalang kami), ketika kamu menyeru kami supaya mengingkari Allah dan menjadikan pula bagi-Nya sekutu-sekutu yang lain.” Demikian itu kedua-dua pihak menyatakan penyesalan masing-masing setelah melihat azab. Dan kami pasang belenggu di leher orang-orang yang ingkar. Mereka tidak dibalas melainkan terhadap apa yang mereka lakukan.” (Ayat 33)

Allah sekali lagi menyebut peristiwa yang bakal berlaku kelak bagi orang-orang yang berdosa dalam Surah As-Sajadah ayat 12, “Dan sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya lalu mereka berkata, “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar,oleh itu kembalikanlah kami semula (ke dunia), kami akan beramal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.”

Inilah penyesalan demi penyesalan yang bakal berlaku di akhirat kelak akibat tersalah pilih ketua di dunia. Perhatikan pula pada ayat berikut dalam Surah al-Israk ayat 71, “(Ingatlah) pada satu hari (yang di hari itu) Kami akan seru setiap orang bersama pemimpin mereka, sesiapa yang diberikan padanya kitab amalan dengan tangan kanannya lalu mereka membaca kitab amalan mereka dan mereka tidak akan dizalimi walau sedikit.” 

Cuba renungkan ayat-ayat Allah di atas kerana apa yang dikemukakan tadi adalah kalam Allah. Jangan sedikitpun rasa syak dalam hati kerana ia melibatkan aqidah dan iman kepada-Nya. Orang-orang yang diberikan fikiran oleh Allah dengan dipandu oleh wahyu pasti tidak akan menyesal bagi mengelakan penyesalan selama-lamanya seperti yang dirakam oleh Allah lagi dalam Surah Al-Mulk ayat 10 ketika mana ahli neraka setelah dimasukkan ke dalam neraka mereka merayu kepada Allah yang bermaksud, “Dan mereka (ahli-ahli neraka) berkata:”Jika kami mendengar dan berfikir sebelum ini sudah tentu kami tidak akan diazab dalam neraka Sa’ir.” Namun penyesalan ketika itu sudah tidak berguna walaupun air mata darah seklaipun.

Justeru warkah ini dapat dijadikan panduan buat mereka yang bakal berdepan dengan tugas yang amat besar ini. Jangan hanya memandang kepada kemewahan dunia semata-mata,kerana orang-orang mukmin tidak hanya menghendaki kesenangan dunia tapi yang lebih utama di akhirat kerana itulah tempat yang kekal selama-lamanya. Hal ini telah ditegah oleh Allah sebagaimana dalam firman-Nya dalam Surah Al-Hijr ayat 88 yang bermaksud, “Jangan sekali-kali kamu berpaling pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir) , janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.”

Kepada rakyat Kelantan, ini bukan masanya untuk melakukan  “Acu,Cuba.Try,Test” kepada kepimpinan kerajaan negeri pada hari ini. Jangan termakan hasutan musuh-musuh Islam bagi mereka menguasai negeri walau sedetik. Setelah kekayaan 13 buah negeri yang lain mereka bolot hingga hampir bankrap, kini Kelantan pula dijadikan sasaran setelah melihat hanya negeri ini diberikan kekayaan yang melimpah ruah.Yang keluar dari dalam perut bumi,lautan dan daratan-hasil keberkatan memerintah secara Islam.

Semoga Allah kurniakan kita semua petunjuk-Nya.

MUNAJAT KAMI RAKYAT KELANTAN

February 18th, 2008 by abnajaafariyah

Ya Allah! Kami mengaku betapa kerdilnya kami di hadapan-Mu. Betapa lemahnya kami di hadapan-Mu,tiada daya dan upaya,kudrat dan kekuasaan melainkan pasrah dan tunduk kepada-Mu. Ya Allah! Kami merayu pada-Mu,berdoa sebagaimana pernah didoakan oleh kekasih-Mu Nabi Muhammad s.a.w. Ya Allah! Betapa hinanya kami di mata musuh kami. Dengan kata-kata dusta,fitnah dan tohmahan yang dilemparkan ke atas kami yang hanya Dikau Maha Mengetahui.Ya Allah! Kami dihina dengan longgokan duit,dengan janji-janji manis pembangunan duniawi. Ya Allah! Mereka menjanjikan untuk menjadikan Kelantan sebagai Kelantan Baru dan mahu pula menjadikan tahun ini sebagai Tahun Merawat Kelantan sedangkan Engkau mengetahui niat mereka .

Ya Allah! Engkau mengetahui hati-hati kami rakyat Kelantan yang telah dilimpahi nikmat kesejahteraan sejak 18 tahun yang lalu. Kami dapat merasai betapa indahnya nikmat Islam dan betapa manisnya iman yang Dikau anugerahkan kepada kami berkat kepimpinan ulamak menerajui negeri kami. Ya Allah! Dengan kuasa yang ada,pimpinan kami telah melakukan setakat yang termampu.Menghalalkan apa yang Dikau halalkan,mengharamkan apa yang Dikau haramkan. Mencegah kemungkaran dan melaksanakan yang makruf.

Ya Allah! Kami tidak sanggup untuk kembali ke zaman jahiliyah kami. Kami tidak sanggup melihat suasana berubah seperti sebelum tahun 1990 lalu.Kami tidak sanggup melihat pusat perjudian dibuka kembali.Kami tidak sanggup melihat kelab malam dan sarang pelacuran bertaburan kembali. Kami tidak sanggup melihat anak-anak muda kami bertambah rosak dengan hiburan yang melalaikan. Kami tidak sanggup menggadaikan apa yang Dikau kurniakan kepada kami selama ini.Cukuplah wahai Tuhan!Penguasaan musuh kami terhadap negeri-negeri yang lain.Jangan Dikau mencabut nikmat pemerintahan Islam yang kami kecapi sekarang ini.Kami tidak sanggup menjual negeri kami kepada musuh kami semata-mata janji pembangunan yang belum dijamin akan ditunaikan berbanding dengan janji-Mu yang tentu Dikau tidak akan sama sekali memungkirinya.

Ya Allah! Kami merayu pada-Mu agar Dikau kekalkan pemerintahan Islam di negeri kami buat selama-lamanya. Jangan Engkau izinkan walaupun sehasta bumi Kelantan bahkan sedetik waktu untuk mereka menguasai negeri kami. Sekatlah keangkuhan mereka selama ini. Jadikan mereka golongan yang kecewa buat selama-lamanya. Jadikan tahun 2008 ini sebagai tahun penyesalan buat mereka selama-lamanya. Jadikan mereka putus asa,kelam dan duka atas segala usaha mereka selama ini.

Ya Allah! Mereka merancang dengan pelbagai rancangan dan tipu daya. Mereka berusaha melaksanakan pelbagai taktik kotor yang hanya Engkau Maha Mengetahui.Ya Allah! Patahkan segala perancangan jahat mereka. Goncangkan pendirian mereka. Pecah belahkan pakatan mereka. Ya Allah! Kurniakan kepada pengendali pilihan raya ini SPR dengan cahaya petunjuk-Mu agar mereka dapat mengendalikan amanah rakyat ini dengan adil,telus dan amanah. Tapi,Ya Allah,jika mereka menggadaikan prinsip mereka ini malah bersekongkol dengan musuh kami melakukan penipuan,tiada daya upaya kami menyekatnya kecuali berserah kepada-Mu. Turunkan kemurkaan-Mu buat mereka  dan balaslah bagi mereka setimpal apa yang mereka lakukan pada kami.Jadikan usaha mereka semua sia-sia seperti debu-debu yang berterbangan sebagai golongan yang kecewa dunia dan akhirat.

Ya Allah! Berikan kekuatan dan pertolongan-Mu kepada pimpinan negeri kami, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Lanjutkan usianya serta berkatilah hidupnya dunia dan akhirat. Balaslah kepadanya dengan sebaik-baik pembalasan terhadap apa yang beliau persembahkan kepada kami dan negeri kami. Ya Allah! Limpahilah kepada kami rahmat dan kesejahteraan serta jadikanlah Kelantan negeri yang makmur,aman dan tenteram daripada ancaman musuh dalam dan luar di bawah keberkatan cahaya petunjuk kitab-Mu (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Ya Allah! Kami berdoa sebagai melaksanakan perintah-Mu. Bukankah Engkau pernah berfirman, "Berdoalah kepada-Ku nescaya akan akan Daku perkenankan". Maka pada hari ini kami mengangkat kedua-dua belah tangan kami yang banyak dosa dan kesalahan ini sebagai menyahut perintah-Mu. Ya Allah!Kami beriman pada-Mu dan melaksanakan segala perintah-Mu.Kami berdoa sedangkan bersama kami adalah wali antara wali-wali-Mu. Kami berada di sisi antara orang yang pernah Dikau muliakannya dnegan ketinggian ilmu dan keramat. Orang yang pernah memakmurkan Al-Azhar dengan majlis pengajian. Keturunan dari zuriat kekasih-Mu Nabi Muhammad s.a.w.

Ya Allah! Kami meminta pada-Mu dengan menjadikan penghulu dan penolong kami Nabi Muhammad s.a.w sebagai wasilah agar Dikau perkenankan doa kami ini. Wahai Rasullah s.a.w! Kami meminta kepada Allah,Tuhan kami denganmu agar Allah memakbulkan hajat kami. Selawat dan salam dari Allah ke atasmu wahai Nabi Allah!

Ya Allah!Tawassul kami dengan Baginda s.a.w,ahli keluarga Baginda serta sekalian wali-wali-Mu dari kalangan penduduk langit dan bumi,Timur dan Barat,juga dengan kemuliaan tuan maqam ini,syeikh kami Syeikh Soleh Jaafari serta sekalian teman-temannya dari kalangan ulamak Al-Azhar,terimalah permohonan kami.Juga dengan sekalian rahsia dalam Al-Fatihah.

Selawat dan salam Allah ke atas penghulu dan penolong kami,Nabi Muhammad,ahli keluarga dan sahabat Baginda semuanya pada setiap kelipan mata dan nafas serta seluas mana ilmu Allah.

(Pertama kali dibacakan di sisi maqam Syeikh Soleh Jaafari r.anhu, Hayyul Khalidin, Darrasah,Kaherah tanggal 19 Februari 2008.)