PERINGATAN BUAT TOHMAHAN KEPADA BERZANJI,MADAIH DAN MARHABAN (BAHAGIAN KEDUA)
Wednesday, April 4th, 2007Pada bahagian kedua ini, sesetengah pihak memberikan tohmahan berzanji itu sebagai "meminta pertolongan kepada Rasulullah s.a.w yang telah wafat" atau dengan lain perkataan istighasah atau tawassul. Perkara ini sudah lama diselesaikan oleh para ulamak dulu dan kini. Membincangkan perkara yang sudah diselesaikan oleh para ulamak adalah satu kerja yang sia-sia sedangkan banyak lagi perkara lain yang perlukan penyelesaian. Saya pada awalnya tidak mahu lagi menulis persoalan furu’ ini tetapi sesetengah pihak masih berdegil dan menaburkan fitnah kepada ulamak. Saya menganggap tuduhan berzanji menyeleweng akidah ini satu tuduhan serius. Jika kita malas dan tidak mahu membaca dan mendengar berzanji, jangan halang orang lain bahkan mentohmah dengan tuduhan yang berat iaitu seleweng aqidah!Bagaimana isu murtad, IFC, Sisters In Islam, korupsi pemimpin negara, PM yang pegang bahu Michelle Yeoh dan isu laga pipi oleh isteri TPM dengan Salman Khan? Bagaimana semua ini boleh diselesaikan jika umat Islam hanya bertelingkah perkara-perkara ini?
Berkenaan bab tawassul ini, saya hanya akan mengemukakan beberapa dalil yang mengharuskannya kerana ulamak mazhab empat iaitu Syafie, Maliki,Hanbali dan Hanafi sepakat mengatakan ia harus. Apabila harus, kita tidak mengatakan tawasul itu wajib-jika tak buat,berdosa- juga bukan haram-jika buat dapat dosa. Begitu juga dengan hukum sambut Maulid Rasul, juga harus. Bagi yang ada kemampuan, boleh sambut dengan besar-besaran sama ada jamuan makanan atau apa-apa jua. Bagi yang tidak mahu menyambutnya, bukan berdosa. Asalkan jangan menghalang orang lain yang ada hujah masing-masing. Berikut rujukan saya yang dipetik daripada kitab Al-Bayan Lima Yasghalul Azhan karangan Mufti Mesir sekarang, Dr.Ali Jumaah.
Dalil Pertama:
Telah menyebut kalangan ulamak tafsir ketika mentafsirkan ayat firman Allah taala pada surah Al-Nisa’ ayat 64. Firman Allah, " Dan jika mereka (manusia) menzalimi diri mereka sendiri (dengan dosa dan maksiat) lalu mereka mendatangi kau (wahai Muhammad) serta mereka meminta ampun kepada Allah dan Rasul, nescaya mereka akan dapati Allah itu Maha Pengampun lagi Penyayang".
Menyebut al-Hafiz Ibnu Kathir dengan katanya, "Telah menyebut segolongan ulamak tafsir seperti Syeikh Abu Nasr As-Sibagh dalam kitabnya tentang kisah yang masyhur iaitu ‘Atabi. Telah menceritakan ‘Atabi:
"Ketika aku sedang duduk di sisi maqam Rasulullah s.a.w maka datang seorang lelaki Arab menuju ke maqam Rasulullah s.a.w lalu berkata, "Assalamualaika ya Rasulallah(Salam sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah). Aku mendengar firman Allah (lalu lelaki tadi membacakan firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 64 ), sambungnya, "Maka aku datang kepada engkau wahai Rasulullah meminta ampun bagi dosa-dosaku dan aku meminta syafaat dengan engkau kepada Tuhanku." Kemudian dia membacakan dua rangkap syair.
Lalu lelaki tadi beredar dari kawasan maqam tadi hingga ‘Atabi yang menyaksikan peristiwa tadi terlelap lalu tertidur. Maka dia melihat Rasulullah s.a.w dalam mimpinya lalu Baginda s.a.w bersabda, "Wahai ‘Atabi! Berikan khabar gembira kepada lelaki tadi bahawa Allah telah mengampuninya." Telah meriwayat kisah ini juga oleh Imam Baihaqi dalam Bab Pecahan Iman dalam jilid ketiga muka surat 496.
Dalil kedua:
Juga disebut oleh Dr.Ali Jumaah dalam bab kedua, tawassul muka surat 176 hingga 184.
Tawassul Nabi Allah Adam alaihissalam dengan Nabi Muhammad s.a.w, sebagaimana hadis daripada Umar bin Al-Khattab r.anhu berkata,telah bersabda Rasulullah s.a.w : "Tatkala bersalah Nabi Adam (dengan memakan buah khuldi) lalu Adam berkata, "Wahai Tuhan! Aku meminta dengan haq Muhammad agar Kau ampuni daku." Allah berfirman, "Wahai Adam!Bagaimana dikau mengenali Muhammad sedangkan Aku belum menciptanya?" Nabi Adam menjawab, "Wahai Tuhanku!Tatkala Engkau menciptakan daku dengan kekuasaan-Mu,dan Engkau meniupkan ruh ke dalam jasadku, aku mengangkat kepalaku maka aku melihat atas tiang-tiang Arasy-Mu tertulis kalimah "Lailahaillah Muhammad Rasulullah", maka tahulah aku tidak sesekali Engkau menyandarkan nama-Mu yang mulia itu kepada nama yang lain melainkan ia (nama itu) adalah orang yang paling Dikau kasihi dikalangan makhluk-Mu." Firman Allah, "Benar kau wahai Adam.Dia (Muhammad) amat Aku kasihi antara makhluk-Ku, dengan sebab kau menyeru dengan namanya maka Aku ampuni kau,jika tidak kerana Muhammad tidak aku ciptakan kau."
(Hadis ini diriwayatkan oleh At-Tabrani dalam ausat, jilid keenam muka surat 313 serta lain-lain.)
Dalil Ketiga:
Kisah kemarau yang berlaku di zaman Saidina Umar Al-Khattab, daripada Malik Ad-Dar berkata: "Kemarau telah melanda pada zaman Umar, telah datang seorang lelaki kepada maqam Rasulullah s.a.w lalu berkata, "Wahai Rasulullah!Tolonglah umatmu kerana mereka hampir binasa (disebabkan kemarau yang melanda). Lalu telah datang Rasulullah s.a.w dalam mimpi lelaki tadi lalu Baginda bersabda, "Pergilah kepada Umar!Sampaikan salamku kepadanya,khabarkan mereka (manusia) akan ditolong."
(Hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu Abi syaibah dalam karangannya, pada jilid keenam muka surat 356 dan Ibnu Abdul Bar pada Istai’ab dalam jilid ketiga muka surat 1149.)
Dalil Keempat:
Kisah Khalifah Al-Mansur bersama Imam Malik bin Anas, Imam bagi mazhab Maliki ketika mereka berdua berada dalam Masjid Nabawi,Madinah iaitu :
((Bahawa Imam Malik ditanya oleh Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur Al-’Abbasiy,iaitu khalifah kedua bagi Kerajaan Abbasiyyah, "Wahai Abu Abdullah (iaitu Imam Malik)! Adakah aku perlu berdoa dengan menghadap ke arah maqam Rasulullah atau ke arah kiblat?" Jawab Imam Malik, "Kenapa kau palingkan wajahmu daripada Baginda sedangkan Baginda s.a.w adalah wasilah (perantara) kau dan wasilah bapa kau, Nabi Adam kepada Allah pada hari Kiamat kelak?Bahkan hadapkanlah kepada Baginda dan mohonlah syafaat dengan Baginda nescaya kamu akan perolehinya (syafaat)."
2. Meletakkan Sifat-sifat Allah Kepada Rasulullah s.a.w
Persoalan kedua yang ditimbulkan iaitu meletakkan sifat Allah kepada Rasulullah. Ia pernah ditulis oleh Al-Marhum Dr.Sayyid Muhammad Alawi, ulamak Mekah bertajuk, "Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, Al-Insanul Kamil" (iaitu Nabi Muhammad ialah Manusia Yang Sempurna). Dengan sebab tulisan beliau ini, beliau dituduh oleh ulamak Wahabi di Saudi sebagai syirik dan kafir kerana meletakkan sifat Allah kepada Nabi Muhammad hingga terpaksa beliau menulis sebuah kitab susulan kemudiannya iaitu Mafahim Yajibu An-Tusahhah iaitu Kefahaman Yang Mesti Diperbetulkan.
Saya hanya ingin memetik Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 128 bermaksud:
"Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri, sifatnya perkasa dan amat lemah lembut serta penyayang kepada orang mukmin."
Dalam ayat ini, Allah meletakkan dua sifat-Nya iaitu "Ar-Rauf" dan "Ar-Rahim" kepada Rasulullah s.a.w dalam menerangkan sifat kekasih-Nya ini. "Ar-Rauf" dan "Ar-Rahim" kedua-duanya adalah sifat bahkan nama Allah yang 99 itu. "Ar-Rauf" iaitu kasihan belas dan "Ar-Rahim" ialah penyayang. Bagaimana kita hari ini mengingkarinya sedangkan Allah sendiri yang meletakkan sifat-Nya kepada kekasih-Nya?
Semua jawapan ini jika betul berzanji itu terdapat tawasul, meminta pertolongan dengan Rasulullah dan meletakkan sifat Allah kepada Rasulullah. Apa yang saya tahu, berzanji itu sekadar menceritakan sirah Nabi Muhammad. Bila tiba kisah Baginda lahir, hadirin ramai-ramai akan bangun berselawat. Di mana ayat atau kalimah tawassul yang dimaksudkan? Saya telah meminta bukti kepada mereka yang membuat tuduhan ini agar mengemukakan bukti, ayat mana, muka surat berapa dalam berzanji, atau bacaan madaih serta marhaban itu yang boleh membawa syirik dan seleweng aqidah? Tiada lain, hanya satu. Iaitu sekadar mereka nak dapatkan publisiti serta dah tiada modal. Kalau dah tiada modal, kata Tok Guru Nik Aziz, lebih baik tutup kedai saja!
Masalah-masalah ini telah dibahas oleh ulamak-ulamak yang jauh lebih alim dari kita hari ini. Kalangan mereka ada yang berguru dengan hampir 1,000 ulamak dan ada yang merantau ke pelusuk dunia bagi mencari ilmu sedangkan kita yang mengingkari hari ini sudah berbangga dengan memiliki beberapa rak buku dan dijadikan ‘maktabah’. Kerja seharian hanya membaca kitab-kitab tersebut tanpa langsung merujuk kepada ulamak yang iklhas kepada Allah. Apatah lagi bagi golongan yang ingkar ini, peringkat pengajian B.A pun masih lagi belum selesai, asyik ‘tersangkut’ tak boleh naik tahun. Tiba-tiba nak jadi ‘jaguh kampung’ menjuarai isu-isu furu’ ini. Mereka akan nampak hebat bila bercakap soal furu’ ini kerana mereka telah mengkaji bahkan menghafal pula hadis-hadis serta dalil-dalil tertentu. Tetapi, sila minta mereka mengi’irab satu ayat dalam Al-Quran atau tanya mereka berkenaan dengan Usul Fiqh atau Mustalah Hadis. Tentu mereka akan berlepas tangan dengan bermacam-macam dalih kerana tidak mampu menjawabnya.
Saya tiada niat memperkecilkan sesiapa tapi sekadar memberi peringatan dan muhasabah bersama. Saya sendiri masih belajar dan memerlukan banyak tunjuk ajar. Tapi hati saya cukup benci kepada golongan takabbur ini. Tambah lagi sudah ada seorang mufti di sebuah negeri yang menggelarkan dengan Darul Sunnah. Habis tenggelam suara ulamak-ulamaklain termasuk Mufti Perak, Datuk Harussani sekarang ini. Yang media cuba tonjolkan dalam soal-soal agama sekarang ini ialah Dr. Asri. Saya tidak tahu apa kelebihannya. Saya teringat kata-kata Dato’ Harun Taib dalam ucapannya di Mesir dua tiga hari yang lepas yang takut Darul Sunnah itu tak jadi,takut jadi ‘harimau jadian.’ Begitu juga pandangan Ustaz Idris Ahmad, Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS bahawa Dr.Asri sekarang adalah "jurucakap Biro Agama UMNO."
Wallahu’alam bis sawab.