MUNAJAT KAMI RAKYAT KELANTAN
Ya Allah! Kami mengaku betapa kerdilnya kami di hadapan-Mu. Betapa lemahnya kami di hadapan-Mu,tiada daya dan upaya,kudrat dan kekuasaan melainkan pasrah dan tunduk kepada-Mu. Ya Allah! Kami merayu pada-Mu,berdoa sebagaimana pernah didoakan oleh kekasih-Mu Nabi Muhammad s.a.w. Ya Allah! Betapa hinanya kami di mata musuh kami. Dengan kata-kata dusta,fitnah dan tohmahan yang dilemparkan ke atas kami yang hanya Dikau Maha Mengetahui.Ya Allah! Kami dihina dengan longgokan duit,dengan janji-janji manis pembangunan duniawi. Ya Allah! Mereka menjanjikan untuk menjadikan Kelantan sebagai Kelantan Baru dan mahu pula menjadikan tahun ini sebagai Tahun Merawat Kelantan sedangkan Engkau mengetahui niat mereka .
Ya Allah! Engkau mengetahui hati-hati kami rakyat Kelantan yang telah dilimpahi nikmat kesejahteraan sejak 18 tahun yang lalu. Kami dapat merasai betapa indahnya nikmat Islam dan betapa manisnya iman yang Dikau anugerahkan kepada kami berkat kepimpinan ulamak menerajui negeri kami. Ya Allah! Dengan kuasa yang ada,pimpinan kami telah melakukan setakat yang termampu.Menghalalkan apa yang Dikau halalkan,mengharamkan apa yang Dikau haramkan. Mencegah kemungkaran dan melaksanakan yang makruf.
Ya Allah! Kami tidak sanggup untuk kembali ke zaman jahiliyah kami. Kami tidak sanggup melihat suasana berubah seperti sebelum tahun 1990 lalu.Kami tidak sanggup melihat pusat perjudian dibuka kembali.Kami tidak sanggup melihat kelab malam dan sarang pelacuran bertaburan kembali. Kami tidak sanggup melihat anak-anak muda kami bertambah rosak dengan hiburan yang melalaikan. Kami tidak sanggup menggadaikan apa yang Dikau kurniakan kepada kami selama ini.Cukuplah wahai Tuhan!Penguasaan musuh kami terhadap negeri-negeri yang lain.Jangan Dikau mencabut nikmat pemerintahan Islam yang kami kecapi sekarang ini.Kami tidak sanggup menjual negeri kami kepada musuh kami semata-mata janji pembangunan yang belum dijamin akan ditunaikan berbanding dengan janji-Mu yang tentu Dikau tidak akan sama sekali memungkirinya.
Ya Allah! Kami merayu pada-Mu agar Dikau kekalkan pemerintahan Islam di negeri kami buat selama-lamanya. Jangan Engkau izinkan walaupun sehasta bumi Kelantan bahkan sedetik waktu untuk mereka menguasai negeri kami. Sekatlah keangkuhan mereka selama ini. Jadikan mereka golongan yang kecewa buat selama-lamanya. Jadikan tahun 2008 ini sebagai tahun penyesalan buat mereka selama-lamanya. Jadikan mereka putus asa,kelam dan duka atas segala usaha mereka selama ini.
Ya Allah! Mereka merancang dengan pelbagai rancangan dan tipu daya. Mereka berusaha melaksanakan pelbagai taktik kotor yang hanya Engkau Maha Mengetahui.Ya Allah! Patahkan segala perancangan jahat mereka. Goncangkan pendirian mereka. Pecah belahkan pakatan mereka. Ya Allah! Kurniakan kepada pengendali pilihan raya ini SPR dengan cahaya petunjuk-Mu agar mereka dapat mengendalikan amanah rakyat ini dengan adil,telus dan amanah. Tapi,Ya Allah,jika mereka menggadaikan prinsip mereka ini malah bersekongkol dengan musuh kami melakukan penipuan,tiada daya upaya kami menyekatnya kecuali berserah kepada-Mu. Turunkan kemurkaan-Mu buat mereka dan balaslah bagi mereka setimpal apa yang mereka lakukan pada kami.Jadikan usaha mereka semua sia-sia seperti debu-debu yang berterbangan sebagai golongan yang kecewa dunia dan akhirat.
Ya Allah! Berikan kekuatan dan pertolongan-Mu kepada pimpinan negeri kami, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Lanjutkan usianya serta berkatilah hidupnya dunia dan akhirat. Balaslah kepadanya dengan sebaik-baik pembalasan terhadap apa yang beliau persembahkan kepada kami dan negeri kami. Ya Allah! Limpahilah kepada kami rahmat dan kesejahteraan serta jadikanlah Kelantan negeri yang makmur,aman dan tenteram daripada ancaman musuh dalam dan luar di bawah keberkatan cahaya petunjuk kitab-Mu (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Ya Allah! Kami berdoa sebagai melaksanakan perintah-Mu. Bukankah Engkau pernah berfirman, "Berdoalah kepada-Ku nescaya akan akan Daku perkenankan". Maka pada hari ini kami mengangkat kedua-dua belah tangan kami yang banyak dosa dan kesalahan ini sebagai menyahut perintah-Mu. Ya Allah!Kami beriman pada-Mu dan melaksanakan segala perintah-Mu.Kami berdoa sedangkan bersama kami adalah wali antara wali-wali-Mu. Kami berada di sisi antara orang yang pernah Dikau muliakannya dnegan ketinggian ilmu dan keramat. Orang yang pernah memakmurkan Al-Azhar dengan majlis pengajian. Keturunan dari zuriat kekasih-Mu Nabi Muhammad s.a.w.
Ya Allah! Kami meminta pada-Mu dengan menjadikan penghulu dan penolong kami Nabi Muhammad s.a.w sebagai wasilah agar Dikau perkenankan doa kami ini. Wahai Rasullah s.a.w! Kami meminta kepada Allah,Tuhan kami denganmu agar Allah memakbulkan hajat kami. Selawat dan salam dari Allah ke atasmu wahai Nabi Allah!
Ya Allah!Tawassul kami dengan Baginda s.a.w,ahli keluarga Baginda serta sekalian wali-wali-Mu dari kalangan penduduk langit dan bumi,Timur dan Barat,juga dengan kemuliaan tuan maqam ini,syeikh kami Syeikh Soleh Jaafari serta sekalian teman-temannya dari kalangan ulamak Al-Azhar,terimalah permohonan kami.Juga dengan sekalian rahsia dalam Al-Fatihah.
Selawat dan salam Allah ke atas penghulu dan penolong kami,Nabi Muhammad,ahli keluarga dan sahabat Baginda semuanya pada setiap kelipan mata dan nafas serta seluas mana ilmu Allah.
(Pertama kali dibacakan di sisi maqam Syeikh Soleh Jaafari r.anhu, Hayyul Khalidin, Darrasah,Kaherah tanggal 19 Februari 2008.)