Penerbangan dari Kaherah menuju ke Jeddah terasa sangat lama. Sedangkan 2 jam itu agak singkat.Tetapi perasaan tidak sabar untuk sampai ke Mekah dan Madinah menyebabkan saya resah bercampur gembira. Tak sabar rasanya untuk menjejakkan kaki di tanah haram. Rombongan kami ini diketuai sendiri oleh Syeikh Abdul Ghani Jaafari bersama 100 orang warga Arab yang lain bertolak dari Kaherah 8 Rabiul Awal, tiga hari sebelum Sambutan Maulid Rasulullah. Walaupun keuzuran kerana usia yang telah mencecah 70 tahun, namun Syeikh Abdul Ghani tetap menggagahi diri berbekalkan semangat membara menuju ke Tanah Haram. Apa tidaknya, inilah kali pertama dalam sejarah perayaan maulid Nabi Muhammad s.a.w dibenarkan semula disambut di negara Saudi. Bahkan Majlis Tertinggi Tariqat Kesufian Mesir baru-baru ini telah memutuskan untuk merayakan sambutan Maulid Nabi pada tahun ini di Madinah-tidak sebagaimana kelazimannya sekalian pencinta Nabi Muhammad s.a.w akan mengadakan perarakan bermula di hadapan Masjid Syeikh Soleh Jaafari di Darrasah. Bermula di situ mereka akan bergerak menuju ke Masjid Saidina Husein bin Saidina ‘Ali, cucu Rasulullah s.a.w. Namun, tahun ini tidak. Semua para pencinta Rasulullah s.a.w akan berkumpul di dataran Masjid Nabawi sebagai menyahut jemputan Kementerian Wafaf Saudi yang menjemput seluruh umat Islam mengadakan sambutan di sana.
Sejak tercetus revolusi tahun lalu, Saudi kian pulih dari pelbagai aspek. Dinasti Saud yang memerintah Saudi sejak pengasasnya, Raja Abdul Aziz bin Andul Rahman ali Sa’ud pada tahun 1876 hingga 1953 masihi hingga ke pemerintah yang terakhir iaitu raja kelima bagi Dinasti Saud, Raja Abdullah bin Raja Abdul Aziz. Pelbagai perubahan telah dialami oleh negara Saudi sejak revolusi tersebut. Selain membenarkan penubuhan parti-parti politik yang sebelum ini dilarang sama sekali,Saudi kini mula membenarkan kegiatan kesufian dan tasawuf-sesuatu yang dilarang sebelum ini. Pemerintahan baru ini juga bercadang menukar nama negara ‘Saudi’ kepada satu nama lain kelak.
Setibanya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, 3 buah bas telah menyambut kedatangan kami bersama wakil Jaafariyah di Saudi. Sesuatu yang memeranjatkan,lapangan terbang penuh sesak dengan ribuan manusia. Rupanya bukan sahaja kami dari Mesir, bahkan umat Islam dari pelusuk dunia membanjiri tanah haram bagi menyambut perayaan Nabi mereka yang dikasihi itu. Kelihatan pelbagai kumpulan tariqat lain antaranya dari Yaman, Syria dan India. Jelas kegembiraan pada wajah mereka. Perjalanan kami dari Jedah yang menaiki 3 buah bas itu mengambil masa hampir 2 jam untuk sampai ke penginapan kami. Apa tidaknya kerana kesesakan lalu lintas yang maha dahsyat berlaku. Dalam perjalanan, kami singgah terlebih dahulu di rumah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang sebelum ini dijadikan perpustakaan. Namun kini, ia dibuka semula dan dikatakan akan menjadi salah satu tempat sambutan kali ini. Di sana juga berlaku kesesakan lalu lintas yang memaksa kami berjalan dari tempat letak bas ke rumah tersebut hampir 1 kilometer. Sepanjang perjalanan, kami melihat di kiri kanan jalan sepanduk dan kain rentang yang mengalu-alukan perayaan yang mulia ini. “AHLAN BI MILADIRRASUL” (Selamat datang dengan perayaan Maulid Rasul). Pasukan keselamatan kelihatan berada di mana-mana. Kali ini bukan untuk menghalang orang bertabaruk seperti sebelum ini, kehadiran mereka untuk menjaga keselamatan para pencinta Rasulullah s.a.w yang datang dari pelbagai negara. Seorang penduduk tempatan memberitahu, dianggarkan hampir setengah juta umat Islam akan tiba menjelang 12 Rabiul Awal nanti. Hampir menyamai jumlah pada musim haji.Setibanya kami di sana terpegun kami melihat rumah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang dihiasi dengan sinaran lampu warna warni serta pelbagai hiasan lain. Ratusan umat Islam telah berhimpun bahkan telah melimpah ke luar rumah tersebut sebagai mengambil berkat dari tempat yang mulia itu.
Kami beredar setelah berdoa dan bertabarruk dan menuju destinasi seterusnya iaitu maqam ayahanda Baginda, Saidina Abdullah bin Abdul Muttalib. Maqam beliau telah dibina masjid yang besar dan cantik sebagai memuliakan ayah kekasih Allah itu. Di sana begitu juga keadaan yang berlaku dan seterusnya ialah maqam bonda Baginda,Saidatina Aminah binti Wahab. Maqam beliau yang terletak di atas bukit juga telah dibina masjid yang cantik sebagai memuliakan bonda kekasih Allah itu. Kemudian kami beredar ke tempat menginap iaitu sebuah dewan dan setelah membersihkan diri, dengan diketuai oleh Syeikh Abdul Ghani kami bergerak ke Masjidil Haram. Sampai di laman masjid yang paling mulia itu, sekali lagi lautan manusia berkhemah di sekitar Masjid Haram. Kami mara ke dalam masjid untuk tawaf. Setengah jam lagi masuk waktu Zohor. Selesai solat sunat, kami mengiringi Syeikh Abdul Ghani menziarahi setiap halaqah dalam masjid tersebut. Kelihatan Habib Umar dari Yaman bersama rombongannya di satu sudut lalu mereka menyambut kedatangan kami. Beredar dari halaqah tersebut, seorang wajah yang bersih mendekati kami. Wajahnya pernah dilihat sebelum ini.“Itulah Dr. Ali Sabuni,” kata teman saya. Sempat juga bersalam dengannya. Tidak berapa jauh dari kami, kelihatan kumpulan manusia berkulit agak hitam. Saya mendekati kumpulan terbabit. Rupanya ulamak dari Habsyah, Syeikh Abdullah Harari. Seorang ulamak yang agak keras terhadap golongan Wahabi.
Azan zohor berkumandang dan solat didirikan. Selesai solat, diadakan taklimat penerangan terhadap majlis kami ini yang akan disampaikan oleh wakil Kementerian Wakaf, Syeikh Sayyid Ahmad bin Muhammad Alawi Al-Maliki. Beliau dipertanggungjawabkan bagi mengetuai sambutan nenda beliau, Rasulullah s.a.w. Al-Marhum ayahanda dan datuk beliau adalah ulamak terkenal di Mekah. Sebut sahaja keturunan ‘Alawi’ sekalian manusia di Tanah Haram pasti mengenalinya. Sama ada kawan atau lawan. Hari kewafatan ayahanda beliau, Almarhum Sayyid Muhammad mencatat sejarah apabila lautan manusia mengiringi jenazahnya 4 tahun lalu.Sayyid Muhammad pernah dihukum sesat bahkan dikafirkan oleh golongan fanatik Wahabi suatu ketika dahulu. Keturunannya dari Saidina Hasan bin Ali itu amatlah disegani sekalian masyarakat.Almarhum Sayyid Muhammad sendiri telah membina madrasah di Rusayfah, dalam kota Mekah.Dalam taklimatnya, anakandanya juga penggantinya Sayyid Ahmad itu,beliau menyebut sambutan akan bermula esok 9 Rabiul Awal. Tempat himpunan ialah di maqam ayahanda Rasulullah s.a.w. manakala pada 10 hari bulan pula, tempat himpunan ialah sekitar maqam bonda Rasulullah s.a.w dan pada 11 hari bulan ialah rumah kelahiran Rasulullah s.a.w. Acara kemuncak pada 12 Rabiul Awal akan dibuat himpunan besar-besaran di Masjid Nabawi bermula lepas zohor hingga Isyak.
Selesai taklimat, saya dan seorang teman hendak ke tandas. Kelihatan banyak perubahan telah berlaku dalam masjid tersebut antaranya telaga zam-zam yang sebelum ini ditutup telah dibuka semula. Ketika mencari tandas, kami terpandang satu kawasan yang dahulunya dijadikan tandas telah ditutup sementara. Kata warga tempatan, kawasan ini sedang dibaikpulih untuk dijadikan tempat solat. Saya bertanya, inikan tandas?! Katanya, inilah dia rumah Sayyidah Khadijah. Wahabi dulu menjadikan rumah isteri kesayangan Nabi ini tandas kononnya bagi mengelak orang mengambil berkat. Itulah kejahilan mereka yang nyata. Mengaku sayang kepada Nabi tapi hakikatnya benci. Seorang teman saya terkena gatal-gatal pada tubuhnya setelah membuang air di kawasan tersebut pada musim haji lalu.
Tanggal 9 Rabiul Awal,lepas asar, kami mula berkumpul di perkarangan masjid ayahanda Nabi, Saidina Abdullah.Menjelang maghrib, segenap ruang masjid diterangi lampu yang bercahaya. Majlis yang bermula lepas Isyak itu, diisi dengan kata-kata penuh semangat dari beberapa ulamak antara mereka ialah Dr.Ali Sobuni. Keesokannya pula kami berhimpun di perkarangan masjid bonda Baginda,Saidatina Aminah.
Seterusnya pada hari 11 Rabiul Awal, selepas solat Asar kami bergerak menuju rumah kelahiran Rasulullah s.a.w.Seperti yang disangka,setibanya kami di kawasan letak kenderaan, kami terpaksa berjalan kaki yang mengambil masa selama 20 minit bersama-sama ribuan manusia yang semuanya menuju ke destinasi yang sama. Kelihatan kiri kanan jalan askar dan polis berkawal. Di sekeliling rumah tersebut telah disediakan hamparan untuk kami sejauh mata memandang. Saya memandang kanan, kiri,hadapan dan belakang.Semuanya lautan manusia. Ini mengingatkan saya satu catatan yang pernah dibaca sebelum ini berkenaan dengan sejarah maulid sebelum penguasaan puak Wahabi. Berikut catatannya:
“Al-Naqqash, seorang ‘ulama di dalam bidang al-Quran mengatakan bahawa tempat kelahiran Nabi merupakan tempat di mana doa diterima pada waktu tengahari setiap hari Isnin. Pendapat beliau ini tercatat di dalam kitab al-Fasi, “Shifa’ al-Gharam” (Jilid 1, ms:199) dan juga kitab-kitab lain. Ahli sejarah abad ke-7 hijrah, Abul ‘Abbas al-’Azafi dan anaknya Abul Qasim al-’Azafi telah menulis di dalam kitab (tidak pernah diterbitkan), “ad-Durr al-Munazzam”, "Mereka yang menunaikan ‘ibadah haji dan mereka yang sedang melakukan pengembaraan menyaksikan bahawa tiada jual-beli ataupun sebarang perbuatan lain dilakukan pada hari Maulidurrasul di Mekah, melainkan mereka berpusu-pusu memenuhi tempat kelahiran Nabi yang diberkati. Pada hari itu juga, Ka’bah dibuka dan orang ramai dibenarkan untuk menziarahinya."Menurut catatan yang bersumber daripada 3 ahli sejarah abad ke-10 hijrah yang dianggap mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tiada tandingannya pada zaman tersebut, Ibnu Huhayra di dalam kitabnya “al-Jami’ al-Latif Fi Fasl Makkah Wa Ahliha” (ms:326), al-Hafiz Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya “al-Mawlid ash-Sharif al-Mu’azzam” dan al-Nahrawali didalam kitabnya “al-I’lam Bi-a’lam Bayt Allah al-Haram” (ms:205).Pada 12hb Rabi’ul Awal setiap tahun selepas solat Maghrib keempat-empat (wakil keempat-empat mazhab) Qadi kota Makkah dan sekumpulan besar orang yang terdiri daripada para fuqaha’ (ulama) dan fudala’ (mereka yang utama) kota Mekah, para syeikh, pemimpin-pemimpin madrasah sufi dan murid-murid mereka, para hakim dan para muta’ammamin (ulama) meninggalkan masjid dan pergi secara beramai-ramai untuk menziarahi tempat kelahiran Nabi s.a.w sambil berzikir dan membaca tahlil (La Ilaha Illallah). Rumah-rumah yang terletak sepanjang jalan tersebut diterangi dengan lampu-lampu dan lilin-lilin besar dan ramai daripada penghuni-penghuni rumah tersebut memenuhi jalan. Mereka semua memakai pakaian baru dan membawa anak-anak bersama. Setibanya di tempat kelahiran Nabi s.a.w doa khas pun dibacakan dan karamah-karamah yang berlaku semasa kelahiran Nabi s.a.w pun dibacakan. Seterusnya doa untuk Sultan, Amir Mekah dibacakan dan Qadi yang bermazhab Shafi’i dibacakan dan kesemua mereka berdoa dengan penuh merendah diri. Sebelum solat Isyak, rombongan tadi pun kembali ke Masjidil Haram yang dipenuhi oleh manusia dan mereka mengambil tempat dan membentuk saf di kawasan Maqam Ibrahim. Di Masjidil Haram, seorang penyeru akan bertahmid (Al-Hamdulillah) dan bertahlil dan sekali lagi berdoa untuk Sultan, Amir dan Qadi yang bermazhab Shafi’i. Seterusnya, azan untuk solat Isyak dilaungkan. Selepas solat Isyak, mereka pun bersurai. Peristiwa yang serupa ini juga dirakamkan oleh al-Diyarbakri (meninggal 960) di dalam kitabnya Ta’rikh al-Khamis.”
Ketika mengenangkan sejarah tersebut, tiba-tiba azan maghrib berkumandang membelahi ruang udara Tanah Haram Mekah. Nun jauh di hadapan saya dapat melihat seorang imam mengambil tempatnya untuk mengimami kami lalu solat didirikan. Selesai saja solat, pintu rumah kelahiran Rasulullah s.a.w yang dikunci tadi dibuka dan berpusu-pusu manusia mendekatinya. Namun,puluhan askar berada di hadapan pintu rumah yang mulia itu. Jumlah manusia yang terlalu ramai menyebabkan ia tidak dibenarkan untuk masuk. Kelihatan beberapa orang yang berada di pintu rumah yang mulia itu mengusap-ngusap dan mengucup pintu tersebut. Ada juga yang berdoa meminta hajat kepada Allah kerana di situ dikatakan doa mustajab. Saya dan rombongan kembali mengambil tempat untuk mengikuti majlis seterusnya. Kami mengadakan majlis bacaan madaih sementara azan Isyak. Selesai solat Isyak, barulah majlis bermula dengan bacaan Al-Quran. Kemudian, seorang pembaca madaih dijemput lalu beliau telah mengalunkan burdah Imam Al-Busiri. Kelihatan ramai mereka yang menangis tersedu-sedu menghayati burdah berkenaan. Ia diikuti dengan ucapan ulamak iaitu Dr. Said Ramadhan Al-Buti, Habib Umar dari Yaman dan Dr.Ali Jumaah, Mufti Mesir. Majlis berakhir dan pada malam itu juga kami terus bertolak ke Madinah bagi sambutan kemuncak.
Sepanjang perjalanan dengan bas, saya tidak tidur kerana kami semua beramai-ramai membaca madaih. Apatah lagi, jalan ke Madinah malam itu sesak dengan kenderaan-kenderaan yang pelbagai dari Mekah. Selain kenderaan persendirian, Kementerian Pengangkutan Saudi telah menyediakan berpuluh-puluh bas secara percuma bagi membawa umat Islam dari Mekah ke Madinah. Kota raya Mekah lengang seketika.
Setelah beberapa jam,kami tiba di kawasan Masjid Nabawi, kami sekali lagi terpaksa berjalan lalu di halamannya telah tersedia khemah untuk kami berehat. Keadaan jalan menuju ke sekitar Masjid Nabi utu,sesak teruk. Kelihatan pasukan polis terpaksa bekerja keras mengawal lalu lintas selain menjaga keselamatan para pengunjung. Di saat kami dapat melepasi lautan manusia menjejakkan kaki di perkarangan masjid mulia itu,entah kenapa, tanpa saya sedari air mata saya mula mengalir ketika melihat masjid kedua termulia itu. Doa saya selama ini untuk menziarahi "Sebaik-baik Manusia" telah tercapai. Perasaan makin sebak melihat kubah hijau yang tersergam indah itu. Bertuah kubah tersebut kerana dapat memayungi kekasih Allah serta dua sahabat Baginda s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar dan Umar r.anhuma. Hati saya ingin terus ke raudhah bagi mengucapkan salam ke atas Baginda s.a.w. Tapi di pintu masuk masjid sesak dengan manusia di samping kawalan askar yang ketat. Keberadaan mereka hanya untuk memastikan keamanan terkawal apatah lagi adab-adab yang perlu dijaga ketika berada dalam masjid. Hanya sejam lagi azan Subuh akan berkumandang.Sekalian manusia mula membanjiri sekeliling Masjid Nabi tersebut. Kami berehat dalam khemah hinggalah azan berkumandang. Kami difahamkan terdapat hampir 50 buah televisyen diletakkan di sekeliling Masjid Nabi tersebut dan sepanjang 4 hari sambutan maulid tersebut,ia dipancar secara langsung oleh tv Saudi serta beberapa tv milik negara Arab yang lain.
Selesai solat Subuh, Sayyid Ahmad bin Muhammad Alawi selaku orang yang bertanggungjawab terhadap majlis sekali lagi memberikan taklimat. Katanya, selepas ini tiada apa-apa acara rasmi disambut hinggalah menjelang waktu Asar.Beliau banyak menasihati para hadirin agar lebih menjaga adab apatah lagi sewaktu berada bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Katanya lagi, kawalan akan diketatkan dalam raudhah dan beliau menasihati agar mengikut perintah yang bakal dikeluarkan oleh ketua polis yang akan berkawal dalam kawasan raudhah. Tambah beliau lagi, pihak keselamatan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada golongan yang melampau ketika berada hadapan maqam Rasulullah s.a.w yang disifatkan ‘bakal menimbulkan fitnah kepada masyarakat’.
Syeikh kami,Syeikh Abdul Ghani berhasrat untuk mengadakan majlis ringkas di hadapan maqam Baginda s.a.w selepas zohor nanti namun kerana kesesakan menyebabkan syeikh menangguhkan hasratnya esok. Beliau bercadang untuk pulang ke Mesir lusa. Katanya, beliau berhasrat menziarahi maqam Baginda s.a.w dan perkuburan Baqie. Teringat kepada perkuburan Baqie. Lantas saya berjalan ke kawasan perkuburan yang terletak tidak jauh dari Masjid Nabi. Masya Allah, sudah banyak binaan telah dibina kembali di atas kubur yang sebelum ini menyaksikan Baqie hanyalah tanah rata. Tiada apa-apa binaan kecuali batu nisan sebagai penanda. Tidak diketahui di mana kubur Saidina Uthman, Saidatina Khadijah, Sayyidah Fatimah anakanda Rasulullah dan keluarga Baginda yang lain. Namun,itu dulu. Ketika Saudi dalam ‘kegelapan dan kejahilan’. Tapi kini telah berubah. Selain binaan kubah,setiap kubur juga diletakkan papan tanda yang mencatat nama serta biografi ringkas tuan maqam. Ini lebih mudah bagi kami menziarahinya. Sekali lagi saya mengalirkan air mata, sebak berada di Baqie. Kelihatan ramai mereka yang berdoa di sisi perkuburan tersebut, bertawassul dengan mereka yang disemadikan di situ.
Saya kembali ke khemah melalui lautan manusia di laman masjid. Terpandang sekali lagi kubah hijau Masjid Nabi. Keramat sungguh kubah ini. Saya melambai tangan ke kubah sambil mengucapkan salam ke atas Rasulullah. Setahu saya, pernah sekali kubah ini cuba dibuang oleh puak Wahabi tetapi gagal. Pernah juga timbul cadangan dari ulamak mereka sebelum ini yang meminta pihak berkuasa membongkar kubur Rasulullah kerana bagi mereka haram solat di masjid yang terdapat kubur di dalamnya.
Selesai solat Asar, kami mula berkumpul di halaman masjid bagi mengikuti acara seterusnya. Bacaan madaih dan burdah dialunkan hingga menjelang maghrib. Ketika itu, Masjid Nabawi bermandi cahaya kerana dihiasi lampu warna-warni yang bergemerlapan. Sesuai dengan namanya “Madinah Al-Munawarah” iaitu Bandar yang Bercahaya. Ia tentunya cahaya dari cahaya Rasulullah s.a.w. Cahaya Rasulullah s.a.w tidak akan padam dari kita meskipun padamnya dahulu cahaya matahari dan bulan dari dunia ini.Ketika asyik memerhatikan persekitaran masjid, saya terpandang sekumpulan manusia yang mengerumuni seseorang. Saya mendekati kumpulan tersebut. Kelihatan orang ramai berebut-rebut untuk bersalam dengan seorang lelaki yang berada di atas kerusi roda. Terkejut saya apabila mendapati lelaki tersebut ialah Habib Abdul Qadir As-Saqqaf. Keuzurannya akibat serangan angin ahmar dan faktor usianya tidak sama sekali menghalangnya dari menghadiri majlis gilang-gemilang itu. Dikatakan kerajaan baru Saudi menyediakan kenderaan khas menjempunya dari kediamannya di Jedddah ke Masjid Nabawi sambil diiringi beberapa motosikal polis trafik dan beberapa kenderaan pacuan empat roda tentera. Menurut pandangan ulamak, beliau ialah wali qutub zaman ini. Saya mengambil peluang bersalam dan mencium tangan dan dahinya. Air mata tiba-tiba bergenang. Syukur pada Tuhan dapat menemui kekasih antara kekasih-Nya. Rupanya beliau antara tetamu yang hadir pada malam bersejarah itu. Tidak lama kemudian, Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kittani dibawa masuk sambil dikawal ketat polis diikuti Habib Zain pemilik ribat di Madinah. Sewaktu ketika dahulu, madrasahnya sering diintip oleh pihak keselamatan Saudi seperti melakukan jenayah besar.Dengar khabar, kerajaan baru Saudi memberikan peruntukan kewangan bulanan kepada madrasahnya.
Kemudiannya, diikuti lagi beberapa ulamak dunia yang diiringi oleh pasukan keselamatan Saudi membawa mereka memasuki ruang utama solat di dalam masjid antaranya Syeikh Hasan Syinawi (Ketua Para Syeikh Tariqat Mesir), Syeikh Ahmad Kamil Yasin (Ketua Majlis Keluarga Al-Asyraf Mesir) dan Syeikh Dr.Judah Abul Yazid Mahdi (Timbalan Rektor Universiti Al-Azhar). Selain itu yang sempat saya temui ulamak dari Yaman ialah Habib Abdullah bin Muhammad Syehab, Habib Ali Masyhoor (abang Habib Umar). Turut kelihatan Syeikh Amir Fadhl Abbas Dandarawi (Syeikh Tariqat Ahmadiyah Dandarawiyah), Dr.Nasr Farid Wasil (bekas Mufti Mesir) dan Dr.Ahmad Tayyib (Rektor Universiti Al-Azhar). Sementara dari India ialah Syeikh Maulana Abdul Rahman Bukhari. Turut kelihatan adik kepada Al-Marhum Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki iaitu Sayyid Abbas. Beliau masyhur dengan pembaca qasidah kerana suaranya yang merdu. Sementara ulamak dari Syria ialah Syeikh Abdul Razak Halabi, Syeikh Abu Hasan Alkardi,Syeikh Mursyid Abidin,Syeikh Adib Kalas dan Syeikh Mustafa Attirkimani.
Selesai solat Isyak, majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran. Kami yang berada diluar dapat mengikuti siaran melalui tv di luar. Seterusnya dibacakan Sirah Nabi bermula ciptaan nur Baginda s.a.w hingga zahirnya keramat pada malam kelahiran Baginda s.a.w. Apabila diceritakan saat kelahiran Baginda s.a.w, sekalian yang hadir berdiri sebagai tanda hormat lalu selawat dibacakan. Terpancar kegembiraan pada wajah masing-masing. Tak kurang juga ada kalangan mereka yang menangis kegembiraan. Memandang sekali lagi ke kubah hijau yang dihiasi dengan lampu warna-warni dan sejalur susunan lampu lagi membentuk kalimah “Marhaban Ya Rasulallah” (Selamat datang Wahai Rasulullah). Selawat malam itu memecah keheningan malam bandar Madinah. Selesai bacaan madih, majlis diteruskan dengan ucapan. Ia dimulakan dengan Sayyid Ahmad bin Muhammad Alawi Al-Maliki sebagai alu-aluan diikuiti ucapan Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kittani. Seterusnya ucapan dari Syeikh ‘Umar Abdullah Kamil,seorang ulamak Mekah, Syeikh Hasan Syinawi, Habib Ali Masyhoor, Syeikh Abdul Rahman Bukhari dan Dr.Judah Mahdi. Setelah majlis berakhir, ramai hadirin bergegas pulang ke tanah air masing-masing malam itu juga dan sebahagiannya keesokan pagi.
Keesokannya rombongan kami dengan diketuai Syeikh Abdul Ghani memulakan ziarah perkuburan Baqie. Diikuti ziarah ke perkuburan syuhada’ di kaki Bukit Uhud antara yang disemadi di sana ialah Saidina Hamzah. Kami sempat menziarahi tempat pasukan pemanah di atas Bukit Uhud lalu bertabarruk di situ.
Kami kembali solat Asar di Masjid Nabawi. Keadaan kelihatan lengang dan kami dapat masuk serta dianugerahkan solat di dalam masjid. Selesai solat, kami mara ke kawasan raudhah lalu mengadapkan wajah kepada Rasulullah dan dua sahabat Baginda (Saidina Abu Bakar dan Umar). Sekali lagi dada sebak. Gembira hati tak terkata .Tiba-tiba air mata mengalir tanpa disedari membasahi pipi sebaik saja mulut mengucapkan salam ke atas Baginda s.a.w. Seorang pembaca madaih membaca qasidah susunan Syeikh Soleh Jaafari beramai-ramai yang dipetik dari Diwan Jaafari jilid ke-6 muka surat 210 cetakan Jawami’ul Kalim yang bermaksud:
“..Bertuahnya dunia denganmu (wahai Rasulullah) # Sejambak haruman mewangi kerana tuahmu kami rasai,
Gembira tidak terasa hari ini dapat bertemu denganmu di raudhah # Bertambah suka hati kami tak terkata,
Pada raudhah ini bersemadi Nabi Muhammad sebaik-baik manusia # Baginda akan menjawab salam ke atas mereka yang menziarahinya,
Sekalian roh orang-orang yang asyik pun bergembira # Di sisi maqam Baginda sambil mengucapkan syukur pada Tuhannya,
Pandangan (Nazrah) Baginda kepada kami pasti akan menyembuhkan hati-hati ini # Seolah-olahnya dirawati tatkala bertemu dengan Baginda,
Wahai Tuhanku! Permudahkan bagi kami menziarahi Ahmad (Rasulullah) # Hinggalah jiwa-jiwa kami mencapai apa yang diharapkan dari Baginda,
Siramilah jiwa kami dengan kebaikan dan bimbinglah ia # Mudah-mudahan ia mendapat perhatian daripada Habib (Rasulullah),
Ketika ia (hati kami) berada di hadapan Baginda # Mudah-mudahan mendapat kemuliaan dan keredhaan daripada Mustafa (Rasulullah)..”
Selesai mengucapkan salam dua sahabat Baginda yang lain iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar r.anhuma, majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Syeikh Abdul Ghani. Kami mara ke kawasan mihrab dan mendapati sebelah mimbar terdapat sebiji batu yang dikatakan tempat Rasulullah berdiri atasnya ketika berkhutbah.
Ketika perjalanan keluar dari masjid, kedengaran loceng berbunyi berdekatan telinga saya. Saya terjaga. Loceng itu rupanya jam yang menunjukkan pukul 5 pagi. Rupanya saya bermimpi berada semalaman di Tanah Haram. Satu mimpi yang saya doakan semoga jadi realiti. Semoga Allah memberikan kita petunjuk-Nya sempena kita berada dalam bulan kelahiran kekasih-Nya ini.