YANG MENARIK JAULAH MAQAM SEMALAM..
Semalam, hari Jumaat saya berkesempatan bersama-sama teman dari Tonto mengadakan jaulah ke maqam auliya sekitar Kaherah khas bagi menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan berlaku di maqam Imam Syafie semasa kami berhenti untuk ziarah dan solat Asar. Sebelum itu, saya bercadang untuk membaca burdah Imam Busiri di dalam maqam beliau nanti. Perkara ini dimaklumi oleh sekalian teman-teman lain.
Selesai solat, saya bertemu dengan Haji Ali, salah seorang dari anak murid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang selalu saya lihat beliau di majlis hadrah di masjid syeikh tersebut. Haji Ali menceritakan kepada saya satu kisah yang diriwayatkan dari Syeikh Soleh Jaafari ketika beliau menghadiri majlis ilmu bersama syeikh beliau di Masjid Al-Azhar satu ketika dulu. Sayyidi Ahmad Dardir r.anhu, seorang ulamak Al-Azhar, yang alim dalam Feqah Mazhab Maliki hingga digelar sebagai Maliki Soghir (Imam Malik Kecil). Maqam beliau terdapat di belakang Masjid Al-Azhar. Antara keramat yang Allah kurniakan kepada beliau ialah beliau bermimpi menemui Rasulullah SAW pada setiap malam dalam tidurnya. Ketika beliau masih menuntut di Al-Azhar, seorang syeikh Al-Azhar iaitu Syeikh Zakaria Al-Ansori telah menemui beliau. Syeikh Zakaria bertanya kepada Sayyid Ahmad Dardir tentang keramatnya itu lalu beliau mengiayakan. Lalu Syeikh Zakaria meminta kepada Sayyidi Ahmad untuk bertanya kepada Rasulullah SAW dalam mimpi kelak keadaan beliau. Pada malamnya Sayyidi Ahmad bertanya kepada Rasulullah SAW keadaan Syeikh Zakaria. Jawab Rasulullah SAW, “Gurumu itu amat baik tetapi melupaiku kerana tidak menziarahiku.” Keesokannya Sayidi Ahmad memberitahu apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Syeikh Zakaria amat sedih dan meminta kepada Sayyidi Ahmad memberitahu bahawa beliau bukan tidak mahu menziarahi Rasulullah SAW di Madinah tetapi keadaan beliau yang tua dan uzur tidak mungkin untuk bermusafir jauh. Pada malam tersebut, sekali lagi Sayyidi Ahmad memberitahu kepada Rasulullah SAW sebagaimana permintaan Syeikh Zakaria tadi. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada Sayyidi Ahmad, “Aku berada di sisi As-Syafie (Imam Syafie) pada waktu Asar setiap hari Jumaat.” Sejak hari itu, Syeikh Zakaria Al-Ansori selalu menziarahi Imam Syafie pada setiap hari Jumaat pada waktu Asar. Haji Ali berkata lagi, demikian juga Syeikh Soleh Jaafari kerana pada saat ini turut dihadiri oleh Rasulullah SAW.
Selepas menceritakan hal tersebut, Haji Ali memimpin tangan saya masuk ke maqam Imam Syafie. Dalam maqam tersebut, teman-teman lain telah berkumpul menanti untuk membacakan burdah. Saya menjemput Haji Ali duduk bersama-sama saya di hadapan sahabat-sahabat lain. Haji Ali meminta kami membacakan Surah Yaasin dan diniatkan kepada Imam Syafie.Selesai bacaan Yaasin yang memakan masa hampir 10 minit itu, burdah Imam Busiri dialunkan beramai-ramai bergema di segenap ruang dalam maqam tersebut. Burdah yang ditulis oleh Imam Busiri itu mempunyai rahsia yang tersendiri. Hanya ikhlas semata-mata meminta syafaat bertawasul kepada Rasulullah SAW, dengan izin Allah, Dia menyembuhkan sakit lumpuh yang beliau hadapi. Di akhir penulisan burdah tersebut, Imam Busiri bermimpi bertemu Rasulullah SAW dalam mimpi dan Baginda SAW menyapu kaki Imam Busiri lalu dengan izin Allah sembuhlah lumpuh beliau. Rasulullah SAW juga telah memberikan kain serban beliau (iaitu burdah) kepada Imam Busiri dan dengan itu dinamakan qasidah karangan beliau dengan Burdah Busiri. Selesai bacaan burdah, saya membacakan doa susunan Syeikh Abdul Ghani Soleh Jaafari.
Sebelum bersurai, Haji Ali berdoa sekali lagi di sisi maqam Imam Syafie dan diakhiri dengan bacaan Al-Fatihah yang dihadiahkan buat Rasulullah SAW. Haji Ali sekali lagi menceritakan kepada teman-teman apa yang beliau ceritakan kepada saya sebentar tadi. Kata beliau dalam Bahasa Arab sebagai mengakhiri pertemuan petang itu, “Alangkah bahagianya kamu sekalian, majlis ini turut dihadiri oleh Rasulullah.”
October 12th, 2008 at 3:50 am
Hello.
reflects the couple’s low-key approach to their royal connections.
Bye.