ALFU BARAKAH
Friday, May 2nd, 2008Dalam kesibukan mentelaah kitab menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang beberapa hari lagi, sambutan Maulid Saidina Husien r.anhu pada hari Selasa tanggal 30 April lalu menjadi penawar bagi merehatkan minda. Saya sempat bersama-sama teman menjenguk sekitar kawasan di medan Saidina Husien beberapa hari sebelum tiba malam penutup (hari selasa) sambutan tersebut. Sekitar kawasannya bermandikan cahaya beberapa hari sebelum itu hingga menjelang fajar 1 Mei. Pendek cerita, pada malam kemuncak maulid yang disambut itu yang penuh warna-warni, segenap manusia datang dari pelusuk Tanah Arab khasnya dan dunia ‘amnya. Bahkan saya sempat bertemu dengan tetamu yang datang dari Libya semata-mata merayakan maulid cucu kesayangan Baginda SAW itu. Tetamu itu yang kami temui di sahah Idrisiyyah, berhampiran Masjid Saidina Husein itu antara ribuan orang yang mengasihi Saidina Husein r.anhu. Beliau dari Tariqat Sanusiyah, gerakan sufi yang diasaskan oleh Sayyidi ‘Ali As-Sanusi, salah seorang anak murid kepada wali qutub yang agung, Sayyidi Ahmad bin Idris. Jika tidak salah saya, Sayyidi Ali As-Sanusi juga antara ulamak sufi yang terlibat mengetuai gerakan jihad di Libya menentang musuh Islam satu ketika dahulu.Beliau meninggal dunia di Libya dan dikebumikan di sana.
Seperti yang dimaklumi, Saidina Husien dilahirkan pada 4 Syaaban tahun ke-4 hijrah iaitu setahun selepas kelahiran abangnya, Saidina Hasan. Sambutan maulid beliau yang dilakukan pada beberapa hari lalu bukanlah sambutan kelahiran beliau tetapi sambutan bagi memperingati waktu kepala beliau yang mulia dibawa masuk ke Mesir iaitu pada hari Selasa minggu terakhir dalam bulan Rabiul Akhir sekitar tahun 500 hijrah.Bagi menzahirkan kecintaan dan kegembiraan mereka kepada beliau, maka menjadi kelaziman bagi penduduk Mesir khasnya merayakan detik bersejarah ini. Tidak diketahui sejak bila sambutan ini dimulakan. Mungkin juga tahun ketibaan kepala beliau yang mulia di Kaherah ini kerana menurut catatan sejarah, ketika kepala beliau yang mulia diarak masuk ke kota Kaherah ketika itu, sekalian penduduk Mesir yang menyaksikan majlis itu, semuanya berlutut sambil menundukkan kepala masing-masing sebagai menghormati anak Saidina Ali itu.
Bagi Syeikh Soleh Jaafari r.anhu sendiri, beliau banyak menukilkan kisah keramat kurniaan Allah kepadanya bersama Saidina Husein, nendanya.Sebagai keturunan yang mempunyai pertalian darah, tentunya beliau takkan terlepas dari menerima tarbiyah dari nendanya tersebut apatah lagi daripada Rasulullah SAW. Catatan kisah beliau bersama Saidina Husien itu kami terima ketika lawatan kami ke Aswan awal tahun ini. Seingat saya lebih dari 20 kisah keramat yang Allah berikan beliau bersama Saidina Husein.
Persoalan sama ada benar atau tidak kepala beliau berada di Kaherah, bagi saya ia jelas sama sekali. Banyak buku ditulis oleh para ulamak menjelaskan keadaan ini. Dalam kitab "Al-Bayan" oleh Mufti Mesir, Dr.Ali Jumaah sendiri menyebut masalah ini bukan masalah aqidah. Ini tidak bererti bagi sesiapa yang tidak menyakini perkara ini akan merosakkan aqidah.Jika dirujuk lagi dalam kitab "Al-Maraqid Ahlil Bait Fil Qaherah" tulisan Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim sendiri dengan jelas menulis tentang sejarah Saidina Husien dan secara dalil dan bukti bahawa kepala Saidina Husein sememangnya wujud di Kaherah iaitu dalam masjid beliau sekarang ini. Kita sendiri pernah mendengar cerita bahawa Al-Marhum Syeikh Ismail Sodiq Adawi, Imam dan khatib Masjid Al-Azhar tidak mahu menggunakan mikrofon ketika mengajar dalam Masjid Saidina Husein kerana katanya beliau malu untuk mengangkat suara di hadapan Saidina Husein.
Sementara itu, jasad beliau yang mulia dikebumikan di Karbala, Iraq. Oleh kerana faktor keselamatan yang tidak mengizinkan di Iraq ditambah lagi penguasaan puak Syiah di masjid Saidina Husien di Karbala, sudah pasti maqam beliau di Kaherah menjadi tumpuan umat Islam dunia ketika sambutan maulid beliau. Maka tidak hairanlah medan Saidina Husein yang terkenal pusat pelancongan itu menjadi tumpuan setiap kali sambutan maulid beliau.
Ziarahilah beliau dan para ulamak yang lain bagi menjadi sebab untuk mendapat redha dan rahmat Allah. Ini kerana mereka sekalian antara golongan yang diredhai oleh Allah dan tentunya sekitar maqam mereka akan sentiasa dipayungi rahmat dan redha dari Allah.Sekali lagi, tanggal 4 Syaaban yang akan datang, masjid beliau akan dibanjiri para pencintanya bagi meraikan ulangtahun tarikh maulid beliau yang sebenar. Syeikh Soleh Jaafari r.anhu sendiri banyak menulis qasidah memuji Saidina Husein. Antara qasidah yang masyhur:
هذا الحسين وهذه أنواره * لاحت على زواره أسراره
هذا الحسين وفي الجنان مقره *ابن النبي محمد خير الورى
وضريحه يعلوه نور ظاهر * قال النبي بأنه في جنة
Maksudnya:
"Inilah dia (Saidina) Husein dan ini smeua adalah cahayanya*Menyelubungi sekalian orang yang menziarahinya"
"Inilah dia (Saidina) Husein yang di syurga tempatnya*Cucu Nabi Muhammad sebaik-baik manusia"
"Maqamnya menzahirkan cahaya yang jelas*Sabda Nabi bahawa dia di dalam syurga."
Semoga Allah meredhai beliau serta sekalian ahli keluarga Baginda SAW yang lain.Madad Ya Ahlal Bait!