SPEKTRUM 11 2008 BEST!

Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan (SPEKTRUM) II 2008 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) telahpun berada di penghujung. Hari ini (Khamis,24 Julai) akan diadakan sukaneka hari keluarga dan malamnya akan diadakan malam kebudayaan iaitu akan menyaksikan persembahan kebudayaan seperti dikir barat, wayang kulit dan macam-macam lagi.

Kelmarin (23 Julai), telah berlangsung perasmian penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Speaker DUN Kelantan, YB En.Mohd Zaki Ibrahim merangkap ADUN Kelaboran. Dalam keterbatasan ini, saya tertarik untuk membuat sedikit catatan ringkas sepanjang program ini berlangsung. SPEKTRUM adalah satu program di bawah naungan YAB Menteri Besar yang menunjukkan betapa prihatinnya Kerajaan Negeri Kelantan terhadap mahasiswa dan mahasiswi Kelantan di Mesir. SPEKTRUM II ini adalah rentetan SPEKTRUM 2007 yang diadakan pertama kali tahun lalu yang dihadiri isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak. Oleh kerana sambutan yang menggalakan pada siri lalu, Kerajaan Negeri bercadang mengadakannya pada kali kedua tahun ini dan al-hamdulillah ia telahpun berjaya diadakan. Bermula dengan majlis perasmian pada 21 Julai lalu yang disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Husam Musa, seminar yang berlangsung di Dewan Solah Kamil Universiti Al-Azhar ini telah berlangsung selama 3 hari. Walaupun sebelum ini, memang menjadi hasrat kepada YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar sendiri untuk bersama-sama kami di Mesir dalam program SPEKTRUM ini buat menjadi pengubat hati kami. Namun apakan daya, dengan keuzuran padanya, beliau tak dapat bersama-sama. Seperti yang dimaklumkan, YAB Tuan Guru baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah. Perjalanan yang begitu lama menjadikan beliau letih. Beliau mewakilkan kepada YB Dato’ Husam Musa, Exco kanannya bagi bersama-sama mahasiswa Kelantan di sini. YB Dato’ Husam selaku Exco Kerajaan Negeri turut ditemani isteri, 2 anaknya serta teman-teman seperjuangan: YB En. Mohd Zaki Ibrahim (Timbalan Speaker DUN Kelantan), YB Ustaz Hasan Mahmood (ADUN Tawang), YB Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (ADUN Mengkebang), YB Puan Siti Zailah Md.Yusof (Ahli Parlimen Rantau Panjang), Ustaz Zulkifli Yaakob, (mantan Yang Dipertua PMRAM tahun 1992) dan beberapa orang lain.

Bagi pandangan saya, program SPEKTRUM II yang menelan belanja beribu-ribu ringgit ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja anak-anak Kelantan bahkan kepada seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir ini. Sesungguhnya kertas kerja yang diseminarkan sepanjang 3 hari itu adalah tidak akan kita perolehi dalam kuliah ataupun dalam apa jua program melainkan dengan penyertaan kita yang komited sepanjang program berlangsung. Dengan tanpa bayaran atau yuran pendaftaran yang dikenakan, peserta tentunya akan berpuas hati dengan apa yang diperolehi sepanjang seminar berlangsung yang berakhir semalam. Apatah lagi yang ‘turun’ sendiri ialah YB Dato’ Husam Musa. Beliau mampu memberikan ‘input’ yang terbaik buat kami para peserta terutama berkaitan isu kenaikan harga barang dan petrol. Bahkan tidak cukup ucapan beliau yang memukau dengan hujah yang konkrit, sebuah buku kecil karangan beliau dan Sdr.Syed Azidi Aziz yang bertajuk "Minyak: Ke Mana Wang Dilarikan?" juga diberikan secara percuma kepada para peserta.

Namun, seperti yang disebutkan oleh Ustaz Zulkifli Yaakob dan Ustaz Zulkifli Yusuf yang melahirkan rasa sedikit kecewa dengan jumlah kehadiran peserta. Walaupun sebelum beberapa hari program berlangsung, Eksekutif Pendaftaran mencatatkan pendaftaran peserta yang ingin menyertai SPEKTRUM II kali ini melebihi 500 orang! Namun apabila tiba hari-hari program, kehadiran hanya sekitar 200 orang. Bagi pandangan tetamu, jika dinisbahkan anak-anak Kelantan di Meisr yang melebihi 1,000 orang, ia amat sedikit berbanding kehadiran peserta ke SPEKTRUM II. Pada pandangan saya ia mungkin faktor ramai mahasiswa pulang ke Malaysia pada tahun ini dan juga faktor kesedaran mahasiswa itu sendiri. Ada yang lebih suka tidur di rumah, makan angin atau melakukan urusan peribadi berbanding menghadiri program seumpama ini. Sememangnya wajar pihak penganjur khasnya rombongan dari Malaysia agak kecewa kerana mereka telah menghabiskan sejumlah peruntukan yang begitu banyak, namun kurang mendapat sambutan. Adapun dari promosi, ia telah dijalankan dengan hebat. Sesiapa pun yang pernah menganjurkan apa-apa jua program jika tiada sambutan,pasti akan ada sedikit rasa kecewa.

Berikut ialah program yang telah berlangsung:

1) Perasmian oleh YB Dato’ Husam Musa

2) Pembentangan kertas kerja:

  • YB Puan Siti Zailah Mohd Yusof bertajuk: Peranan Muslimat Sebagai Penentu Kemenangan.
  • YB En. Mohd Zaki Ibrahim : Tanggungjawa Belia Islam Di Kelantan
  • YB Ustaz Hasan Mahmood: Tahaluf Siyasi Dalam Suasana Politik Malaysia
  • YB Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman: 18 Tahun Kelantan Di Bawah Pentadbiran Ulamak

3) Forum Al-Munzirin bersama panel: YB Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Ustaz Zulkifli Yaakob dan Puan Salwati Mohd Arifin (Ketua Nisa’ Kelantan).

4) Dialog Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri

5) Ceramah Umum bertempat di Dataran Hayyul ‘Asyir yang bertajuk "Model Negara Berkebajikan, Peranan Mahasiswa".

6) Perasmian penutup oleh YB En. Mohd Zaki Ibrahim

Cuma beberapa catatan yang menarik sepanjang program yang perlu dikongsi ialah:

1) Asrama Kelantan Baru

Kesungguhan Kerajaan Negeri untuk membeli sebuah bangunan bagi menempatkan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir. Masalah penempatan menjadi masalah utama selama ini bagi kami kerana rumah-rumah Kelantan sebelum ini sudah tidak dapat menampung jumlah mahasiswa yang semakin bertambah. YB Dato’ Husam sendiri telah dibawa melihat bangunan cadangan dan keesokannya beliau sendiri menghubungi YAB Tuan Guru Menteri Besar. Semoga impian anak-anak Kelantan ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini.

2) Peruntukan Segera

Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan segera bagi bantuan kewangan seramai 100 orang anak-anak Kelantan yang kesusahan berjumlah RM 100,000 melalui YB Dato’ Husam Musa.

3) Peranan PMRAM

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang merupakan persatuan induk yang ditubuhkan tahun 1930 dan penaung kepada persatuan anak-anak negeri di Mesir telah diberikan penghormatan dalam banyak aspek terutama dalam program ini. Antaranya, Presiden PMRAM diberikan peluang berucap menyampaikan kata alu-aluan dalam upacara perasmian. Dalam kesempatan itu, Presiden PMRAM telah melahirkan rasa bangga PMRAM atas bantuan yang diberikan oleh KPKM selaku Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang dinaunginya selama ini. Pada malam ceramah umum di Dataran Hayyul ‘Asyir, Presiden PMRAM sekali lagi diletakkan duduk bersama-sama dengan para rombongan di atas pentas manakala barisan Badan Pengurus dan AJKT HEWI PMRAM diberikan tempat di hadapan. Begitu juga pada perasmian penutup, Presiden PMRAM diberikan penghormatan untuk menyampaikan cenderahati kepada para rombongan Kerajaan Negeri. Bahkan dalam ucapan penggulungan semasa Dialog Kepimpinan Kerajaan Negeri bersama mahasiswa, Kerajaan Negeri Kelantan bercadang melantik PMRAM sebagai wakil Kerajaan Negeri bagi sistem urusan Dinar dan Dirham jika ia berjaya diperkenalkan kelak.

4) Urusetia Program

Yang menarik kali ini, urusetia program menyaksikan penggabungan antara golongan agamawan dan profesional apabila golongan Azhari bekerjsama dengan pelajar perubatan. Ada antara AJK terutama di sebelah mahasiswi dari kalangan perubatan. Ini menggambarkan perkembangan yang cukup baik apatah lagi sebagai persediaan kepada golongan agamawan untuk menerima lebih ramai pelajar perubatan pada masa-masa mendatang.

5) Eksekutif Disiplin

Dalam setiap program, Unit Disiplin dan Protokol adalah satu unit yang amat penting. Dalam SPEKTRUM II ini peranan Eksekutif Disiplin patut dipuji. Keaktifan dan kepekaan mereka menyebabkan majlis berjalan dengan licin terutama bagi VIP. Keseragaman pakaian mereka menarik perhatian. Bukan sahaja dalam dewan, bahkan malam ceramah umum di Dataran Hayul Asyir juga. Setiap VIP diiring hingga mereka duduk di tempat yang telah ditetapkan. Saya datang agak lewat malam ceramah umum tersebut. Hajat di hati, lebih suka duduk di bahagian belakang. Bila melihat saya, AJK Disiplin dengan segera menjemput dan mengiringi saya mengambil tempat di bahagian hadapan bersama-sama teman yang lain. Suasana yang agak tidak terkawal malam ceramah itu disebabkan soalan-soalan yang dikemukakan agak panas menjadikan Eksekutif Disiplin lebih berhati-hati. Kawalan ketat kepada semua VIP terutama anggota rombongan agar perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku. Sewajarnya keikhlasan mereka yang bekerja langsung tidak mengharapkan habuan dunia, pujian serta sanjungan sewajarnya dihargai semua pihak. Syabas buat Disiplin serta Eksekutif-Eksekutif lain yang menjayakan program ini!

Terima kasih kepada semua pihak dalam menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang amat prihatin kepada kami anak-anak Kelantan di sini. Bahkan juga tidak melupakan PMRAM sebagai persatuan induk di sini.

Leave a Reply