PERINGATAN BUAT TOHMAHAN KEPADA BERZANJI,MADAIH DAN MARHABAN (BAHAGIAN KEDUA)

April 4th, 2007 by abnajaafariyah

Pada bahagian kedua ini, sesetengah pihak memberikan tohmahan berzanji itu sebagai "meminta pertolongan kepada Rasulullah s.a.w yang telah wafat" atau dengan lain perkataan istighasah atau tawassul. Perkara ini sudah lama diselesaikan oleh para ulamak dulu dan kini. Membincangkan perkara yang sudah diselesaikan oleh para ulamak adalah satu kerja yang sia-sia sedangkan banyak lagi perkara lain yang perlukan penyelesaian. Saya pada awalnya tidak mahu lagi menulis persoalan furu’ ini tetapi sesetengah pihak masih berdegil dan menaburkan fitnah kepada ulamak. Saya menganggap tuduhan berzanji menyeleweng akidah ini satu tuduhan serius. Jika kita malas dan tidak mahu membaca dan mendengar berzanji, jangan halang orang lain bahkan mentohmah dengan tuduhan yang berat iaitu seleweng aqidah!Bagaimana isu murtad, IFC, Sisters In Islam, korupsi pemimpin negara, PM yang pegang bahu Michelle Yeoh dan isu laga pipi oleh isteri TPM dengan Salman Khan? Bagaimana semua ini boleh diselesaikan jika umat Islam hanya bertelingkah perkara-perkara ini?

Berkenaan bab tawassul ini, saya hanya akan mengemukakan beberapa dalil yang mengharuskannya kerana ulamak mazhab empat iaitu Syafie, Maliki,Hanbali dan Hanafi sepakat mengatakan ia harus. Apabila harus, kita tidak mengatakan tawasul itu wajib-jika tak buat,berdosa- juga bukan haram-jika buat dapat dosa. Begitu juga dengan hukum sambut Maulid Rasul, juga harus. Bagi yang ada kemampuan, boleh sambut dengan besar-besaran sama ada jamuan makanan atau apa-apa jua. Bagi yang tidak mahu menyambutnya, bukan berdosa. Asalkan jangan menghalang orang lain yang ada hujah masing-masing. Berikut rujukan saya yang dipetik daripada kitab Al-Bayan Lima Yasghalul Azhan karangan Mufti Mesir sekarang, Dr.Ali Jumaah.

Dalil Pertama:

Telah menyebut kalangan ulamak tafsir ketika mentafsirkan ayat firman Allah taala pada surah Al-Nisa’ ayat 64. Firman Allah, " Dan jika mereka (manusia) menzalimi diri mereka sendiri (dengan dosa dan maksiat) lalu mereka mendatangi kau (wahai Muhammad) serta mereka meminta ampun kepada Allah dan Rasul, nescaya mereka akan dapati Allah itu Maha Pengampun lagi Penyayang".

Menyebut al-Hafiz Ibnu Kathir dengan katanya, "Telah menyebut segolongan ulamak tafsir seperti Syeikh Abu Nasr As-Sibagh dalam kitabnya tentang kisah yang masyhur iaitu ‘Atabi. Telah menceritakan ‘Atabi:

"Ketika aku sedang duduk di sisi maqam Rasulullah s.a.w maka datang seorang lelaki Arab menuju ke maqam Rasulullah s.a.w lalu berkata, "Assalamualaika ya Rasulallah(Salam sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah). Aku mendengar firman Allah (lalu lelaki tadi membacakan firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 64 ), sambungnya, "Maka aku datang kepada engkau wahai Rasulullah meminta ampun bagi dosa-dosaku dan aku meminta syafaat dengan engkau kepada Tuhanku." Kemudian dia membacakan dua rangkap syair.

Lalu lelaki tadi beredar dari kawasan maqam tadi hingga ‘Atabi yang menyaksikan peristiwa tadi terlelap lalu tertidur. Maka dia melihat Rasulullah s.a.w dalam mimpinya lalu Baginda s.a.w bersabda, "Wahai ‘Atabi! Berikan khabar gembira kepada lelaki tadi bahawa Allah telah mengampuninya." Telah meriwayat kisah ini juga oleh Imam Baihaqi dalam Bab Pecahan Iman dalam jilid ketiga muka surat 496. 

Dalil kedua:

Juga disebut oleh Dr.Ali Jumaah dalam bab kedua, tawassul muka surat 176 hingga 184.

Tawassul Nabi Allah Adam alaihissalam dengan Nabi Muhammad s.a.w, sebagaimana hadis daripada Umar bin Al-Khattab r.anhu berkata,telah bersabda Rasulullah s.a.w : "Tatkala bersalah Nabi Adam (dengan memakan buah khuldi) lalu Adam berkata, "Wahai Tuhan! Aku meminta dengan haq Muhammad agar Kau ampuni daku." Allah berfirman, "Wahai Adam!Bagaimana dikau mengenali Muhammad sedangkan Aku belum menciptanya?" Nabi Adam menjawab, "Wahai Tuhanku!Tatkala Engkau menciptakan daku dengan kekuasaan-Mu,dan Engkau meniupkan ruh ke dalam jasadku, aku mengangkat kepalaku maka aku melihat atas tiang-tiang Arasy-Mu tertulis kalimah "Lailahaillah Muhammad Rasulullah", maka tahulah aku tidak sesekali Engkau menyandarkan nama-Mu yang mulia itu kepada nama yang lain melainkan ia (nama itu) adalah orang yang paling Dikau kasihi dikalangan makhluk-Mu." Firman Allah, "Benar kau wahai Adam.Dia (Muhammad) amat Aku kasihi antara makhluk-Ku, dengan sebab kau menyeru dengan namanya maka Aku ampuni kau,jika tidak kerana Muhammad tidak aku ciptakan kau."

(Hadis ini diriwayatkan oleh At-Tabrani dalam ausat, jilid keenam muka surat 313 serta lain-lain.)

Dalil Ketiga:

Kisah kemarau yang berlaku di zaman Saidina Umar Al-Khattab, daripada Malik Ad-Dar berkata: "Kemarau telah melanda pada zaman Umar, telah datang seorang lelaki kepada maqam Rasulullah s.a.w lalu berkata, "Wahai Rasulullah!Tolonglah umatmu kerana mereka hampir binasa (disebabkan kemarau yang melanda). Lalu telah datang Rasulullah s.a.w dalam mimpi lelaki tadi lalu Baginda bersabda, "Pergilah kepada Umar!Sampaikan salamku kepadanya,khabarkan mereka (manusia) akan ditolong."

(Hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu Abi syaibah dalam karangannya, pada jilid keenam muka surat 356 dan Ibnu Abdul Bar pada Istai’ab dalam jilid ketiga muka surat 1149.)

Dalil Keempat:

Kisah Khalifah Al-Mansur bersama Imam Malik bin Anas, Imam bagi mazhab Maliki ketika mereka berdua berada dalam Masjid Nabawi,Madinah iaitu :

((Bahawa Imam Malik ditanya oleh Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur Al-’Abbasiy,iaitu khalifah kedua bagi Kerajaan Abbasiyyah, "Wahai Abu Abdullah (iaitu Imam Malik)! Adakah aku perlu berdoa dengan menghadap ke arah maqam Rasulullah atau ke arah kiblat?" Jawab Imam Malik, "Kenapa kau palingkan wajahmu daripada Baginda sedangkan Baginda s.a.w adalah wasilah (perantara) kau dan wasilah bapa kau, Nabi Adam kepada Allah pada hari Kiamat kelak?Bahkan hadapkanlah kepada Baginda dan mohonlah syafaat dengan Baginda nescaya kamu akan perolehinya (syafaat)."

2. Meletakkan Sifat-sifat Allah Kepada Rasulullah s.a.w

Persoalan kedua yang ditimbulkan iaitu meletakkan sifat Allah kepada Rasulullah. Ia pernah ditulis oleh Al-Marhum Dr.Sayyid Muhammad Alawi, ulamak Mekah bertajuk, "Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, Al-Insanul Kamil" (iaitu Nabi Muhammad ialah Manusia Yang Sempurna). Dengan sebab tulisan beliau ini, beliau dituduh oleh ulamak Wahabi di Saudi sebagai syirik dan kafir kerana meletakkan sifat Allah kepada Nabi Muhammad hingga terpaksa beliau menulis sebuah kitab susulan kemudiannya iaitu Mafahim Yajibu An-Tusahhah iaitu Kefahaman Yang Mesti Diperbetulkan.

Saya hanya ingin memetik Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 128 bermaksud:

"Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri, sifatnya perkasa dan amat lemah lembut serta penyayang kepada orang mukmin."

Dalam ayat ini, Allah meletakkan dua sifat-Nya iaitu "Ar-Rauf" dan "Ar-Rahim" kepada Rasulullah s.a.w dalam menerangkan sifat kekasih-Nya ini. "Ar-Rauf" dan "Ar-Rahim" kedua-duanya adalah sifat bahkan nama Allah yang 99 itu. "Ar-Rauf" iaitu kasihan belas dan "Ar-Rahim" ialah penyayang. Bagaimana kita hari ini mengingkarinya sedangkan Allah sendiri yang meletakkan sifat-Nya kepada kekasih-Nya?

Semua jawapan ini jika betul berzanji itu terdapat tawasul, meminta pertolongan dengan Rasulullah dan meletakkan sifat Allah kepada Rasulullah. Apa yang saya tahu, berzanji itu sekadar menceritakan sirah Nabi Muhammad. Bila tiba kisah Baginda lahir, hadirin ramai-ramai akan bangun berselawat. Di mana ayat atau kalimah tawassul yang dimaksudkan? Saya telah meminta bukti kepada mereka yang membuat tuduhan ini agar mengemukakan bukti, ayat mana, muka surat berapa dalam berzanji, atau bacaan madaih serta marhaban itu yang boleh membawa syirik dan seleweng aqidah? Tiada lain, hanya satu. Iaitu sekadar mereka nak dapatkan publisiti serta dah tiada modal. Kalau dah tiada modal, kata Tok Guru Nik Aziz, lebih baik tutup kedai saja!

Masalah-masalah ini telah dibahas oleh ulamak-ulamak yang jauh lebih alim dari kita hari ini. Kalangan mereka ada yang berguru dengan hampir 1,000 ulamak dan ada yang merantau ke pelusuk dunia bagi mencari ilmu sedangkan kita yang mengingkari hari ini sudah berbangga dengan memiliki beberapa rak buku dan dijadikan ‘maktabah’. Kerja seharian hanya membaca kitab-kitab tersebut tanpa langsung merujuk kepada ulamak yang iklhas kepada Allah. Apatah lagi bagi golongan yang ingkar ini, peringkat pengajian B.A pun masih lagi belum selesai, asyik ‘tersangkut’ tak boleh naik tahun. Tiba-tiba nak jadi ‘jaguh kampung’ menjuarai isu-isu furu’ ini. Mereka akan nampak hebat bila bercakap soal furu’ ini kerana mereka telah mengkaji bahkan menghafal pula hadis-hadis serta dalil-dalil tertentu. Tetapi, sila minta mereka mengi’irab satu ayat dalam Al-Quran atau tanya mereka berkenaan dengan Usul Fiqh atau Mustalah Hadis. Tentu mereka akan berlepas tangan dengan bermacam-macam dalih kerana tidak mampu menjawabnya.

Saya tiada niat memperkecilkan sesiapa tapi sekadar memberi peringatan dan muhasabah bersama. Saya sendiri masih belajar dan memerlukan banyak tunjuk ajar. Tapi hati saya cukup benci kepada golongan takabbur ini. Tambah lagi sudah ada seorang mufti di sebuah negeri yang menggelarkan dengan Darul Sunnah. Habis tenggelam suara ulamak-ulamaklain termasuk Mufti Perak, Datuk Harussani sekarang ini. Yang media cuba tonjolkan dalam soal-soal agama sekarang ini ialah Dr. Asri. Saya tidak tahu apa kelebihannya. Saya teringat kata-kata Dato’ Harun Taib dalam ucapannya di Mesir dua tiga hari yang lepas yang takut Darul Sunnah itu tak jadi,takut jadi ‘harimau jadian.’ Begitu juga pandangan Ustaz Idris Ahmad, Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS bahawa Dr.Asri sekarang adalah "jurucakap Biro Agama UMNO."

Wallahu’alam bis sawab.

PERINGATAN BAGI TOHMAHAN KEPADA BERZANJI,MADAIH DAN MARHABAN (BAHAGIAN SATU)

April 3rd, 2007 by abnajaafariyah

Sekian lama saya tinggalkan blog saya ini kerana kesibukan tugas dan tanggungjawab yang lain. Tapi hati saya terdetik untuk mencoret kembali blog saya ini setelah beberapa hari yang lalu menerima pesanan mesej dan emeil yang kurang menyenangkan tentang masalah sambutan Maulid Nabi serta yang khusus lagi tentang bacaan berzanji. Menurut pendapat sesetengah pihak,mereka meminta agar bacaan berzanji dihentikan kerana boleh menyelewengkan akidah bagi yang membacanya. Ini menurut mereka lagi, berzanji itu sendiri boleh membawa syirik kerana beberapa sebab: Pertama, meminta pertolongan dengan Rasulullah s.a.w yang telah wafat. Kedua,meletakkan sifat Allah kepada Rasulullah. Saya akan ulas dua perkara ini sekadar kemampuan ilmu yang ada.

1. Meminta pertolongan kepada Rasulullah yang telah wafat

Persoalan yang saya cuba ingin timbulkan di sini, benarkah orang yang mati itu mati?Atau mereka sekadar berpindah dari alam dunia ke satu alam lain yang dinamakan barzakh?Sepertimana manusia sebelum lahir, mereka berada di alam roh. Di alam roh, mereka tidak mati, proses kelahiran itu dinamakan perpindahan dari alam roh ke alam dunia.

Berkata Dr.Umar Abdullah Kamil dalam bukunya Al-Hayatul Barzakhiyah (Kehidupan di Alam Barzakh) cetakan Darul Mustafa muka surat 92, beliau membawa kisah selepas berakhirnya Perang Badar lalu Rasulullah s.a.w mendekati mayat-mayat tentera musyrikin yang dibunuh termasuk antaranya Umayyah bin Khalaf serta Abu Jahal lalu Baginda bersabda, "Tidakkah kamu sekalian (orang musyrikin) mendapati bahawa janji Allah kepada kamu adalah benar?" Lalu Saidina Umar Al-Khattab bertanya, "Wahai Rasulullah! Adakah seruan kamu ini didengari oleh mayat-mayat ini?" Jawab Baginda, "Mereka mendegarnya tetapi tidak mampu menjawab kembali."

(Hadis ini dikeluarkan dalam Sahih Bukhari dalam Bab Peperangan iaitu pembunuhan Abu Jahal pada hadis 3976 dan Muslim pada 2875.)

Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mengajar umatnya menziarahi kubur dan berkata, "Assalamualaikum wahai ahli kubur daripada sekalian orang mukmin lelaki dan perempaun dan kami Insya- Allah akan mengikuti jejak langkah dan kami memohon kepada Allah bagi kamu sekalian kebaikan."

(Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Muslim pada Kitab Jenazah hadis nombor 974.)

Hadis ini jelas kepada kita bahawa orang yang mati mendengar salam yang diucapkan bahkan menjawab pula salam tadi sebagaimana dalam hadis yang lain: Berkata Ibnu Abdul Barr telah sabit daripada Nabi Muhammad s.a.w baginda bersabda, "Tidaklah seorang muslim melalui kawasan perkuburan saudaranya yang dikenali sewaktu hayat di dunia dahulu,lalu dia memberikan salam kecuali Allah mengembalikan roh saudaranya tadi hingga dia menjawab salam saudaranya itu."

Hidup Para Nabi dan Para Syuhada’

Firman Allah Taala:

"Dan jangan kamu sesekali menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dalam keadaan mereka diberikan rezeki." (Surah Ali-Imran:Ayat 169)

Firman Allah lagi:

"Dan jangan kamu mengatakan bagi orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup akan tetapi kamu tidak menyedarinya." (Surah Al-Baqarah: Ayat 154)

Saya ingin merujuk dalam kitab yang dikarang oleh Dr. Umar Abdullah Kamil, seorang ulamak dari negara Saudi yang amat dikenali di seluruh dunia tambahan di Mesir di kalangan pelajar Malaysia di sini. Hanya mereka yang mengingkari kebenaran sahaja menolak beliau dan ilmu beliau. Tulisan beliau yang di’pecah’kan kepada beberapa juzuk adalah rentetan buku tulisan al-Marhum Dr.Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki,juga seorang ulamak Mekah yang berketurunan Sayyida Hasan,cucunda Rasulullah s.a.w bertajuk "Mafahim Yajibu An-Tusahhah" (Kefahaman Yang Mesti Diperbetulkan. Dr Umar Abdullah Kamil menulis "Salasilah" buku tersebut dengan membincangkan 11 perkara. Dalam jilid keduanya beliau menulis perkara bertajuk "Al-Hayatul Barzakhiyyah" iaitu berkenaan kehidupan di alam barzakh.

Beliau menyebut di dalam kitab ini, jika dalam dua ayat tadi Allah memberi jaminan para syuhada’ yang mati syahid tidak mati,bahkan hidup hingga diberikan nikmat dan rezeki di sisi Allah, bagaimana Nabi Muhammad s.a.w yang disebut sebagai semulia-mulia makhluk? Tentulah Baginda terlebih afdhal dan lebih mulai berbanding para syuhada’ itu dan tentunya Baginda juga diberikan nikmat dan rezeki bahkan tidak mati di sisi Allah.

Dalam satu buku kecil karangan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang dikenali dengan ketinggian ilmunya, seorang ulamak Al-Azhar yang menuntut di Al-Azhar hingga berkhidmat di Masjid Al-Azhar sebagai Imam dan khatib selama hampir 50 tahun. Beliau menulis sebuah buku kecil bertajuk, As-Sirah An-Nabawiyah Al-Muhammadiyah (Sirah Nabi Muhammad). Al-Hamdulillah, saya telah membelinya di kedai Darul Jawamiul Kalim, bersebelahan masjid beliau di Al-Azhar. Namun, kini kedai tersebut tidak lagi mencetaknya.

Buku setebal 92 muka surat ini ditulis oleh Syeikh Soleh sewaktu beliau di Masjid Al-Azhar dan selesai ditulis pada malam 27 Rejab tahun 1388 hijrah di Masjid Al-Azhar sebagaimana yang tercatat dalam buku ini. Beliau menyebut dalam muqadimah tulisan yang menceritakan kisah hidup Baginda s.a.w bermula di alam nur hingga kewafatannya secara ringkas, pada muka surat 3:

"Dan pada permulaan tulisanku ini aku telah melihat Saidina Jibril alaihissalam dengan penglihatan yang jelas. Maka aku memberi salam kepadanya (JIbril) lalu aku meminta dia mendoakan untuk aku. Maka berdoa Jibril, "Allahu yu tammim". Maksudnya: Semoga Allah sempurnakan (iaitu sempurnakan penulisan buku beliau ini). Maka sempurnalah tulisan ini dengan berkat doa Jibril tadi dan aku bersyukur kepada Allah."

Dalam buku ini pada "Fasal ke-21 iaitu Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w selepas Kewafatannya", beliau menyebut:

"Adapun hidupnya Rasulullah s.a.w selepas kewafatannya adalah telah sabit daripada kalangan huffaz hadis serta ulamak sabit dengan ayat Al-Quran tentang mati syahid. Maka berkata sekalian ulamak, "Hidup Rasulullah s.a.w sabit dan lebih aula (daripada syuhada’).

Telah berkata ulamak Syanqiti (guru beliau): "Bahkan hidup Nabi Muhammad s.a.w diberikan lebih afdhal daripada hidup syuhada’, ini jelas apabila Allah mengharamkan orang mukminin daripada mengahwini isteri-isteri Baginda s.a.w, juga tiada ‘iddah kepada isteri-isteri Baginda selepas kewafatannya (sebagaimana yang dikenakan kepada wanita-wanita lain selepas kematian atau bercerai dengan suami) dan juga tidak boleh diwarisi harta Baginda s.a.w dan demikian itu menunukkan ke atas sempurnanya hidup Baginda."

Pda muka surat 65, Syeikh Soleh menerangkan lagi:

"Telah mengkhabarkan Allah bahawa Dia berselawat ke atas Baginda s.a.w (sebagaimana dalam Surah al-Israk ayat 66) menunjukkan selawat Allah ke atas Baginda dengan menggunakan  lafaz fiil mudhari’ iaitu "yusalluna" yang membawa maksud "Allah dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas Nabi…"

Beliau seterusnya menulis:

"Nabi Muhammad s.a.w telah melihat Musa sembahyang di dalam kuburnya (pada malam Israk Mikraj). Telah sepakat ulamak bahawa telah sabit apa-apa yang berlaku kepada para Nabi adalah mukjizat selepas kewafatan mereka maka ia juga sabit berlaku kepada Nabi kita Muhammad s.a.w atas jalan aulawiyyah (iaitu lebih-lebih lagi Baginda adalah penghulu sekalian Rasul dan Nabi).

Telah melihat Nabi Muhammad s.a.w akan para Nabi secara yaqazah iaitu keadaan jaga (bukan mimpi) selepas kewafatan mereka (para Nabi), maka harus juga melihat Baginda s.a.w secara yaqazah dan banyak khabar dari orang-orang soleh aku dapati mereka melihat Rasulullah s.a.w secara yaqazah.

Telah dikeluarkan hadis oleh Imam Bukhari daripada Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Sesiapa yang melihat aku dalam mimpi maka dia akan dapat melihat aku secara jaga (yaqazah) dan syaitan tidak mampu menyerupaiku." (Dalam kitab Al-Bayan Lima Yashghalul Azhan tulisan Dr.Ali Jumaah, Mufti Mesir pada bab "Adakah mungkin dapat melihat Rasulullah secara yaqazah" pada muka surat 160 cetakan Muqattam, beliau mengemukakan hadis ini juga sebagai dalil harus yaqazah dan bermimpi melihat Rasulullah s.a.w. Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya pada jilid kedua muka surat 2567 dan Abu Daud dalam sunannya pada jilid keempat muka surat 305).

Sambung Syeikh Soleh lagi:

"Iaitu maksud melihat Baginda tadi ialah di dunia sebagaimana dinaqalkan daripada Imam Sayuti dan ulamak-ulamak lain.Telah sabit juga bahawa salam orang yang memberikan salam kepada Baginda juga sampai kepada Baginda s.a.w walaupun dari negara dan tempat yang jauh."

Dalam fasal "Ziarah Baginda s.a.w" muka surat 78, Syeikh Soleh menulis lagi:

"Dan ketahuilah bahawa Baginda s.a.w terlebih mulia dan afdhal daripada Arasy,Kursi,Kaabah dan sekalian masjid atas muka bumi ini serta nikmat-nikmat dalam syurga. Baginda s.a.w mendengar salam (dari umatnya yang menyampaikan salam) serta Baginda menjawabnya,janganlah kamu syak dan ragu-ragu tentangnya, kelak boleh jatuh dalam aqidah jahiliyyah,kerana mereka (orang jahiliyah) mengatakan orang yang mati apabila mati tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak sampai apa-apa pahala kepada si mati, juga tidak akan dibangkit (di akhirat) serta jadilah kibur sebagai penyudah segala-galanya."

Dalam kitab Durur As-Suniyah Li Raddi ‘Alal Wahabiyah karangan Syeikh Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah taala, bekas Mufti Mekah telah menulis tentang golongan Wahabi mengharamkan bertawasul dengan orang yang mati kerana bagi mereka orang yang mati tidak boleh memberikan manfaat dan mudarat,beliau menyebut:

"Jika kita berkeyakinan orang yang hidup berkuasa mampu menolong serta memberikan bantuan manakala orang mati tiada kuasa, sebenarnya kita telah silap kerana orang yang hidup juga tiada kuasa menolong, memberikan manfaat dan mudarat. Segala-galanya itu adalah daripada Allah."

Seterusnya, Syeikh Soleh Jaafari menceritakan pada muka surat 81 dalam buku ini:

"Berkata Sayyid Ali bin as-Sanusi r.anhu (guru beliau serta anak murid Sayyid Ahmad bin Idris,pengasas Tariqat Ahmadiyah Idrisiyyah): Telah menceritakan Sayyid Ahmad bin Idris bahawa beliau bertalaqqi semua wirid-wiridnya dengan Rasulullah s.a.w secara yaqazah daripada Rasulullah s.a.w.

Adalah Sayyid Muhammad Uthman Al-Mirghani (syeikh tariqat Al-Mirghaniyah Al-Ahmadiyyah) berselawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam solatnya (ketika tahiyyat) dan dia berada di negara Habsyah. Dan Syeikh Uthman mendengar Rasulullah s.a.w menjawab salamnya.

Adalah Imam Sayuti membacakan hadisnya bersama Rasulullah s.a.w secara yaqazah sebagaimana disebut oleh ulamak-ulamak."

Demikianlah petikan tulisan daripada buku Syeikh Soleh Jaafari yang saya petik beberapa fasal daripada 26 fasal bermula ciptaan nur Baginda s.a.w hingga kewafatan Baginda s.a.w.

Berikut dikemukakan dalil lain sabit kehidupan Rasulullah s.a.w selepas kewafatannya:

-Hadis daripada Anas bin Malik r.anhu berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w, "Sesungguhnya aku telah melihat ketika malam aku di’Israk’kan (Israk Mikraj) Musa (Nabi Musa) dia sedang berdiri menunaikan solat dalam kuburnya." (Riwayat Muslim-Hadis 2375)

Jika ia boleh berlaku kepada Nabi Musa,bagaimana pula kita boleh mengingkari jika ia juga berlaku kepada Nabi kita, Muhammad s.a.w yang adalah Baginda sebaik-baik makhluk di sisi Allah dan penghulu bagi sekalian Nabi dan Rasul?

-Hadis tentang kelebihan berselawat ke atas Baginda s.a.w, sabda Baginda s.a.w, "Sebaik-baik hari bagi kamu sekalian ialah Jumaat kerana padanya diciptakan Adam,padanya (Jumaat) ditiupkan ruh, maka perbanyakkanlah selawat kamu ke atasku kerana sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku."Lalu para sahabat bertanya, "Bagaimana dibentangkan selawat kami sesudah kamu wafat?" Sabda Rasulullah, "Sesungguhnya Allah mengharamkan bagi tanah memakan jasad para Nabi."

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Nasaie (Hadis bernombor 1374-sebagaimana dinomborkan oleh Syeikh Abu Ghudah) dan juga dikeluarkan oleh Imam Abdu Daud (Hadis nombor 1047 sebagaimana dinomborkan oleh Mahyudin Abdul Hamid (Hadis Sahih),juga Ibnu Majah pada dua tajuknya (Hadis nombor 1636 dan 1085.

Jika Baginda wafat dan tidak bernyawa, bagaimana Baginda mampu mengetahui selawat dari kalangan umat Baginda?Mustahil sekali Baginda berbohong!

-Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan Abu Syaikh serta Ibnu hibban, dengan lafaznya telah bersabda Rasulullah s.a.w "Sesungguhnya Allah telah mewakilkan bagi malaikat-malaikat dan diberikan nama sekian mahhluk kepada mereka.Maka malaikat tadi berdiri di kuburku apabila aku wafat kelak. Tiada sesiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat kecuali berkata malaikat tadi:Wahai Muhammad! Telah berselawat ke atasmu fulan bin fulan. Sabda Rasulullah s.a.w" Selawat Allah Taala kepada lelaki tadi bagi setiap selawat dengan 10 kali ganda."

-Daripada Amru bin Al-Harith daripada Said bin Abi Hilal daripada Zaid bin Aiman daripada Ubadah bin Nasiy daripada Abi Dardak berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w, "Perbanyakkan selawat ke atasku pada hari Jumaat kerana sesungguhnya disaksikan oleh para malaikat. Dan apabila berselawat seseorang daripada kamu ke atasku kecuali dibentangkan selawat tersebut ke atasku hingga selesai selawat tadi". Bertanya Abu Dardak:"Walaupun selepas kewafatanmu?" Sabda Rasulullah s.a.w, "Selepas kewafatanku,Allah telah mengharamkan ke atas bumi memakan jasad para Nabi dan para Nabi Allah hidup diberi rezeki."

Hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah nombor 1637 daripada Abi Dardak.

-Dikeluarkan oleh Al-Bazzar dalam musnadnya daripada Ibnu Masud berkata, sabda Rasulullah s.a.w "Kehidupanku sebaik-baik bagi kamu manakala kewafatanku sebaik-baik bagi kamu dengan dibentangkan amalan kamu kepadaku,jika aku dapati amalan kamu baik aku mensyukuri Allah. Jika aku dapati ia buruk, aku beristighfar kepada Allah untuk kamu."

Hadis sahih dan disahihkan oleh sebahagian besar daripada Huffaz (ulamak hadis).

Adakah Rasulullah s.a.w Hidup Dalam Maqamnya?

Bagi menjawab persoalan ini, sila rujuk kitab terbaru karangan Dr.Ali Jumaah,Mufti Mesir yang masih hidup kini bertajuk "Al-Bayan Lima Yasghalul Azhan" (Keterangan Bagi Apa Yang Mengabui Pemikiran) cetakan Al-Muqatam. Dalam buku beliau ini, beliau cuba menerangkan segala permasalahan furu’ yang dicetuskan oleh masyarakat kini termasuk persoalan bid’ah, tawassul, Maulid Rasul, ziarah kubur, hukum cukur janggut serta persoalan tentang wanita.

Di dalam persoalan adakah Baginda Rasulullah masih hidup dalam maqamnya, beliau telah menulis satu bab pada muka surat 185 di bawah persoalan, "Hal Nabiyyi hayyun fi qabrihi, wa ma mada atharun tilkal hayat ‘alaina fi hayatina duniya?" (iaitu Adakah Nabi Muhammad hidup di maqamnya dan apakah kesan kehidupan Baginda itu kepada kita yang hidup di alam dunia kini?

Beliau menyebut pada muka surat 186 perenggan kedua:

"Telah sah bahawa para Nabi alaihimu salam beribadat kepada Tuhan mereka dalam kubur mereka. Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Telah berjalan daku kepada Musa pada malam Israk Mikraj, dan aku dapati dia (Nabi Musa) sedang berdiri menunaikan solat dalam kuburnya."

Daripada Nabi Muhammad s.a.w bersabda,"Para Nabi hidup dalam kubur mereka bersembahyang."

Hadis ini dikeluarkan oleh Addailami dalam musnad firdaus dalam jilid 1 muka surat 242 dan lain-lain.

Seterusnya Dr.Ali Jumaah membuat kesimpulan pada muka surat 187 katanya:

"Nabi Muhammad s.a.w hidup di dalam kuburnya dengan ruhnya serta jasadnya dan jasad Baginda yang mulia dipelihara oleh Allah sebagaimana saudara-saudaranya yang lain dari kalangan para Anbiya’, iaitu dekat dengan Tuahnnya beribadat dalam kuburnya, sentiasa berhubung dengan umatnya,Baginda meminta ampun buat mereka (umat) serta memberi syafaat bagi mereka (umat) di sisi Allah dan juga Baginda menjawab salam daripada umatnya.

Sesiapa yang membohongi dan mengingkari hidup Nabi selepas kewafatannya, maka dia telah membohongi hadis yang kami sebutkan di atas…"

Begitulah beliau mengakhiri tulisan beliau dalam bab ini.

…………………………………………………….

Insya-Allah,tulisan ini akan bersambung pada bahagian kedua yang akan datang.

KERUNTUHAN MORAL MASYARAKAT MALAYSIA

January 6th, 2007 by abnajaafariyah

Durex adalah sebuah syarikat pembikin kondom antarabangsa. Setiap tahun syarikat ini menjalankan kajian yang dinamakan Durex Global Sex Survey. Tujuan kajian ini adalah untuk meneliti kecenderungan dan gaya seks masyarakat dunia.

Di Malaysia, Durex telah turut membuat kajian melibatkan 5,409 orang respondan. 72%  respondan terdiri dari mereka dalam lingkungan 21 ke 34 tahun manakala 15% melibatkan mereka yang di bawah 20 tahun.

Dari kajian yang dibuat rata-rata para respondan menyatakan bahawa mereka telah mengadakan hubungan seks seawal usia 19 tahun! Di Malaysia sebagaimana yang kita tahu usia 19 tahun ini biasanya melibatkan mereka yang masih belum mendirikan rumah tangga lagi. Ini bermakna seawal usia 19 tahun anak-anak kita telah melakukan zina ataupun hubungan seks di luar nikah!

Dan diantara hasil kajian yang turut membimbangkan lagi adalah:

1) 1 dari setiap 10 respondan mengakui pernah mengadakan hubungan sesama jenis atau homoseks

2) 29 peratus pernah mengadakan hubungan seks dengan orang yang baru dikenali ataupun pelacur

3) 14 peratus yang bernikah pernah mengadakan hubungan seks dengan bukan pasangannya

4) 9 peratus pernah mengadakan hubungan seks bertiga ataupun threesome.

Walaupun kajian ini dibuat oleh syarikat berkenaan untuk mempromosi produknya namun hasil kajiannya perlu kita berikan perhatian kerana ianya melibatkan isu nilai, moral dan masa depan masyarakat kita!

Hasil kajian ini membuktikan bahawa segala langkah dan sistem yang diperkenalkan kononnya untuk melahirkan masyarakat bermoral dan bertaqwa jelas telah gagal dan sewajarnya dihumbankan ke longkang sahaja!

Sekiranya benarlah kajian ini mencerminkan budaya dan pelakuan masyarakat kita, bermakna kita berdepan dengan suatu krisis yang besar dan serius yang perlu ditangani segera sebelum ianya menghancurkan nilai dan pegangan agama yang selama ini kita pertahankan.

Allah swt berfirman dalam surah al Israa ayat 32:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Muhammad s.a.w., sabdanya: Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya - (Bukhari/Muslim).

Wallahua’lam.

TePuK DaDa…TaNyA ImAn…